MADRID: Sergio Ramos dan  Alvaro Morata menyempurnakan sepakan penalti masing-masing dalam kemenangan 3-0 Sepanyol ke atas Sweden sekali gus mengekalkan permulaan sempurna dalam kempen kelayakan Euro 2020.

Sepanyol bergelut menembusi tembok pertahanan Sweden di Santiago Bernabeu sehinggalah Ramos memecah kebuntuan pada minit ke-64 selepas Sebastian Larsson menahan hantaran lintang Marco Asensio dengan tangan.


Dua gol pantas di akhir permainan hadir menerusi sepakan penalti Morata sebelum Mikel Oyarzabal meledak gol ketiga.

Kemenangan itu mengekalkan Sepanyol di puncak Kumpulan F, lima mata di depan Sweden yang menduduki tangga kedua, dengan empat kemenangan daripada empat perlawanan.

PEMAIN Sepanyol, Alvaro Morata menyempurnakan sepakan penalti dalam perlawanan menentang Sweden pada aksi kelayakan Euro 2020 di Madrid. – Foto AFP

PEMAIN Sepanyol, Mikel Oyarzabal (kanan) menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Sweden pada aksi kelayakan Euro 2020 di Madrid. – Foto AFP

Kelebihan itu menggambarkan kebangkitan memberangsangkan selepas persembahan mengecewakan di Liga Negara-Negara UEFA, walaupun tiga kemenangan sebelumnya adalah ke atas Norway, Malta dan Faroe Islands.



Luis Enrique masih tidak bersama pasukan sejak Mac kerana masalah keluarga dan Sepanyol dibimbing pembantunya Robert Moreno.

“Masih banyak yang boleh diperbaiki,” kata Moreno. “Kami sedang mencari kesempurnaan.” – AFP