Spesifikasi PCI Express 5.0 Diumumkan – Kelajuan Mencapai 32 GT/s, 2x Lebih Pantas Berbanding PCIe 4.0 – Amanz

Konsortium PCI-SIG iaitu badan disebalik pembangunan piawaian PCI, PCI-X, dan PCI Express (PCIe) telah memutuskan spesifikasi akhir untuk PCI Express 5.0. Ia bakal membawa kelajuan penghantaran dua kali ganda lebih pantas, yang mana kini mampu mencapai sehingga 32 GT/s (atau 32 GigaTransfer/saat).

Spesifikasi yang diumumkan ini membolehkan tugasan pengkomputeraan intensif dapat dilakukan dengan lebih pantas, terutamanya untuk kegunaan kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin (ML), dan permainan. Walaupun PCIe 5.0 ini mempunyai perubahan dari segi teknikal, ia masih menyokong perkakasan PCIe terdahulu.

Antara perkara yang dibawa oleh PCI Express 5.0:

  • Menyajikan penghantaran mencapai 32 GT/s dan sehingga 128GB/s melalui konfigurasi x16.
  • Memanfaatkan spesifikasi PCIe 4.0 untuk menawarkan kelajuan yang lebih pantas.
  • Menghasilkan perubahan elektrik untuk meningkatkan integriti isyarat dan prestasi mekanikal penyambung.
  • Menyertakan keserasian dengan penyambung CEM untuk pemasangan kad luaran.
  • Mengekalkan keserasian bersama PCIe 4.0, 3.x, 2.x, dan 1.x untuk sokongan perkakasan terdahulu.

PCI-SIG telah mengatakan bahawa spesifikasi PCIe 5.0 ini telah berjaya dibangunkan dalam masa 18 bulan. Mereka juga yakin bahawa teknologi PCIe ini akan terus menjadi piawai sejagat bagi kebolehan input/output (I/O) berprestasi tinggi.

Sebelum ini, PCIe 4.0 telah diumumkan pada tahun 2017 dan produk pertama yang akan menyokongnya ialah CPU 7nm siri Ryzen 3000 dan GPU siri Radeon 5000. Dengan jangka masa ini, ia turut memberi petanda PCIe 5.0 ini bakal menjengah pengguna pada sekitar 2021.

ep2p-2