Senator DAP Tarik Balik Saranan Malaysia Jalin Hubungan Diplomatik Dengan Israel

PETALING JAYA – Senator DAP yang menggesa Putrajaya menjalin hubungan diplomatik dengan Israel memohon maaf dan menarik balik seruan itu.

Nga Hock Cheh menjelaskan dia juga mencadangkan kerajaan membuka kedutaan di Palestin. Menurutnya, cadangan itu dibuat agar Putrajaya boleh “bantu mendapatkan keamanan berkekalan di Timur Tengah.”

“Bagaimanapun, memandangkan perkara-perkara itu adalah sensitif, dan bagi mengelakkan orang tersinggung dan salah faham, saya dengan ikhlas dan sukarela memohon maaf dalam penjelasan saya di Dewan Negara pada 25 April, dan seterusnya ingin menarik balik kenyataan itu,” katanya dalam kenyataaan.

Nga, seorang pemimpin DAP dari Perak menyuarakan sokongan kepdaa cadangan Presiden PKR, Anwar Ibrahim kepada kerajaan supaya membuka kedutaan di Palestin.

Nga bagaimanapun berkata Malaysia patut maju selangkah lagi dengan membuka kedutaan di Israel dan meraih manfaat ekonomi daripada hubungan baru itu.

Kenyataan tersebut mengundang kecaman daripada gerakan global Boycott, Divestment and Sanctions di Malaysia (BDS Malaysia), mengatakan penjelasannya berbaur propaganda Zionis.

BDS Malaysia berkata Nga menunjukkan “kebendulannya” tentang konflik di Palestin, kerana orang Kristian juga jadi mangsa keganasan Zionis, dan pencapaian teknologi negara itu atas sebab tanah dan air orang Palestin dicuri orang Israel. – FMT

ep2p-5small