Pendakwa Mohon Tangguh Kes Najib dan 1MDB, Mahkamah Tetapkan Tarikh Baru

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 Ogos ini untuk perbicaraan 25 pertuduhan yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Razak berhubung 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar usul pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan tersebut yang sepatutnya bermula pada 14 Mei ini.

Ia adalah kali kedua hakim menetapkan tarikh baru memandangkan perbicaraan kes SRC International masih berlangsung.

Malah, hakim turut memberi amaran kepada kedua-dua pihak untuk tidak menangguhkan lagi perbicaraan kes berkenaan.

Hari ini adalah hari ke-12 perbicaraan kes SRC dan ia berlanjutan sehingga 10 Mei ini.

Perbicaraan kes 1MDB itu akan berjalan sehingga 15 November.

Lain-Lain Berita;-

Kesilapan Pejabat Peguam Negara Punca Perbicaraan Kes Najib Tertangguh – Peguam PM

Pihak Pendakwaan Tak Bersedia Untuk Perbicaraan Yang Lebih Awal – Shafee

Najib, 66, didakwa dengan empat tuduhan sebagai pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi 1MDB, menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah bagi dirinya sendiri.

Bagi tuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM60,629,839.43 di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 14 Jun 2011.

Bagi tuduhan kedua, Najib didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM90,899,927.28 di tempat sama antara 31 Oktober 2012 hingga 20 November 2012, manakala tuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan RM2,081,476,926 dan RM49,930,985.70.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berdepan 21 tuduhan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion. – MalaysiaGazette

ep2p-5small