Pemimpin PH tak perlu debat dengan seorang ‘pencuri’..

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyokong keputusan Anggota Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menarik diri daripada berdebat dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Menurutnya, Lim tidak seharusnya berdebat dengan seorang ‘pencuri’.

“Buat apa nak berdebat dengan pencuri,” kata Syed Saddiq seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Terdahulu, beliau diminta mengulas hal ini memandangkan beliau bekas pendebat terbaik Asia pada 2015.

MP Muar itu dalam masa yang sama turut mencadangkan agar Najib berdebat di hadapan hakim di mahkamah.

“Saya cadangkan Najib berdebat dengan hakim di mahkamah. Beliau akan diadili di sana. Ini kerajaan yang berpegang teguh dengan prinsip rule of law,” katanya lagi.

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim menyokong keputusan Lim dengan menyifatkan ia langkah bijak untuk mengelakkan ketegangan kaum.

Sebelum ini Lim dilihat sering menumpukan kritikannya terhadap Najib meskipun ahli parlimen Pekan itu bukan lagi perdana menteri atau presiden Umno.

ep2p-5small