Pakatan Harapan adalah penyelamat rakyat dari “Perompak negara” – Dr Mahathir

“Perjuangan mempertahankan Melayu dan Islam yang digerakkan oleh UMNO dan Pas tidak lain dari ‘mempertahankan perompak-perompak negara”.

“Pihak terbabit juga berharap jika Kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh, maka kes-kes yang mereka hadapi akan gugur dan mereka tidak perlu bertanggungjawab terhadap dosa dan kerosakan yang telah mereka lakukan..”

“Pesanan saya, cukup-cukuplah menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik,” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir ketika menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Menurut Dr. Mahathir, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kerajaan diperlihatkan sebagai sebuah kerajaan yang tidak mempedulikan mengenai Islam dan Melayu.

Tambahnya, kerajaan hari ini digambarkan sebagai akur kepada kehendak golongan bukan Islam dan bukan Melayu sehingga menggadai kepentingan bangsa Melayu dan orang Islam.

“Tidak cukup dengan itu, kita juga dituduh mahu melupuskan sistem beraja.

“Atas sebab-sebab ini, mereka bergabung dan dasar yang mereka pegang adalah untuk kononnya mempertahankan Raja-Raja Melayu, kedudukan orang Melayu dan kedaulatan Islam,” katanya.

Beliau menegaskan, adalah amat menghairankan bagaimana Pas dan UMNO boleh bergabung dan bekerjasama.

Tambahnya, semua tahu bahawa UMNO selama ini telah dikafirkan oleh Pas dan pemimpin parti Islam itu terutamanya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah menarik balik amanatnya.

“Kerana itu bertahun-tahun lamanya sehinggalah ke Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) orang Melayu yang percaya kepada Pas tidak akan mengundi UMNO walaupun di kerusi yang Pas tidak bertanding.

“Mereka lebih rela mengundi DAP, PKR, PBS dan mana-mana parti pimpinan orang Islam ataupun tidak, asalkan bukan UMNO,” katanya.

Sebaliknya Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, UMNO pula ditolak oleh rakyat pada PRU-14 kerana mereka telah dipimpin oleh seorang kleptokrat.

Pemimpin itu katanya, bertanggungjawab membenar penjarahan secara besar-besaran dilakukan terhadap institusi-institusi Melayu dan Islam seperti Tabung Haji, Felda dan Mara.

Pakatan Harapan jelasnya, telah tampil ke hadapan dan bersama dengan rakyat dari semua kaum untuk menyekat kebatilan yang dilakukan oleh Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Apabila ini tercapai, hari ini Pas menyeru penyokongnya untuk bersama dengan UMNO untuk mempertahankan Melayu dan Islam.

“Di manakah mereka ketika pemimpin UMNO mencuri dan menjarah harta Negara menerusi 1MDB, Tabung Haji dan Felda serta lain-lain institusi Kerajaan seperti Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?” soalnya.

ep2p-2