Kuala Lumpur belasah PKNP, Peluang untuk PKNP masih ada – bazookapenaka.my

PENYERANG Kuala Lumpur, Guilherme De Paula (tengah) meraikan kejayaannya KUALA LUMPUR 26 Mei – Kuala Lumpur berjaya keluar daripada zon penyingkiran apabila membelasah PKNP FC 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Guilherme De Paula muncul wira skuad The City Boys apabila meledak hatrik masing-masing pada minit ke-14, penalti minit ke-17 dan minit ke-90. Gol pertama Kuala Lumpur dijaringkan oleh Paulo Josue seawal minit ke-11.


Gol saguhati pasukan pelawat hadir menerusi jaringan Giancarlo Rodrigues pada minit ke-30.

Kuala Lumpur kini menduduki tangga ke-10 manakala PKNP FC di tempat ke-11.

Sementara itu ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mengakui berasa kecewa dengan keputusan yang dilakar oleh anak-anak buahnya selepas dibelasah 1-4 oleh Kuala Lumpur dalam aksi liga di Stadium Kuala Lumpur, semalam.

Bekas pengendali Perak itu berkata beraksi di bawah tahap sebenar selain melakukan kesilapan mudah menjadi punca kepada kekalahan pasukannya sekali gus menyebabkan PKNP memasuki zon penyingkiran dengan berada di kedudukan ke-11.

“Kami berharap dapat memenangi perlawanan ini untuk memperbaiki kedudukan sebab setiap kutipan mata amat penting untuk pasukan.


“Dalam tempoh lapan minit pintu gawang PKNP dibolosi sebanyak tiga kali dan gol-gol itu berlaku disebabkan kesilapan pemain kita hendak mengeluarkan bola.

“Ketinggalan 0-3 pada 45 minit pertama memang sukar untuk kami terima. Kami cuba bangkit pada babak kedua namun jurang perbezaan gol terlalu jauh,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan, semalam.

Bagaimanapun, Abu Bakar mahu pemainnya memandang ke hadapan untuk mengharungi baki perlawanan Liga Super.

“Kita masih ada baki tujuh perlawanan dan saya lihat persaingan untuk tiga pasukan tercorot sengit. Kami perlu ada kepercayaan dan apa yang penting adalah memastikan pasukan tidak tersingkir turun ke Liga Perdana,” katanya.

ep2p-2