Kerajaan perpaduan takkan berjaya kerana Umno dan Pas tiada kuasa.. – Penganalisis

Cadangan kerajaan campuran di antara UMNO dan PAS untuk mengambil alih pentadbiran di Kedah dilihat perang psikologi Timbalan UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan terhadap Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar, berkata jika PAS dan UMNO bergabung sekalipun di Kedah, kerajaan PH masih utuh kerana PH mempunyai 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding gabungan UMNO-PAS sebanyak dua kerusi dan PAS pula, 15 kerusi.

“Ia sukar untuk jadikan kerajaan perpaduan tanpa pembabitan parti kerajaan. Susah di Kedah.

“Kenyataan Tok Mat di Kedah dan Perak itu lebih kepada perang psikologi untuk menghakis kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan PH,” katanya seperti yang dilaporkan oleh portal Berita Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kemungkinan UMNO membentuk kerjasama dengan PAS dalam usaha mengambil alih Kedah dan Perak yang ketika ini ditadbir PH dengan perbezaan kerusi yang kecil.

Ditanya sama ada perang psikologi itu cubaan ‘mengajak’ wakil rakyat PH menyokong gabungan UMNO dan PAS, Rusdi berkata, ia sukar berlaku memandangkan PH berkuasa pada peringkat Pusat pada masa ini.

“Dalam politik siapa yang berkuasa dia akan dapat manfaat. UMNO dan PAS tidak mempunyai kuasa. Jadi bagaimana dia dapat pengaruhi parti yang ada kuasa.

“Sekarang ini tidak tetapi masa hadapan kita tidak pasti sekiranya berlaku konflik dalam PH,” katanya.

Rusdi berkata, cadangan kerajaan campuran di negeri yang dikuasai Barisan Nasional (BN) di Pahang dan Perlis atau negeri diperintah PAS di Kelantan atau Terengganu juga sukar kerana mungkin terdapat syak wasangka di antara mereka.

“Mungkin pemimpin atasan rasa boleh buat tetapi pemimpin di bawah belum tentu lagi. Sanggupkah mereka korbankan jawatan mereka?

“Sebagai contoh, jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan, sanggup atau tidak lepaskan kepada parti lain. Dikhuatiri berlaku konflik besar antara parti berkenaan,” katanya menerusi BH.

ep2p-2