Kemenangan DAP di PRK Sandakan adalah kemenangan seluruh rakyat Malaysia

Kemenangan besar Vivian Wong Shir Yee yang meraih 16,012 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan merupakan kemenangan rakyat, kata Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng.

Malah, katanya, kemenangan anak kepada mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt itu adalah satu keputusan yang di luar jangkaan kerana buat pertama kalinya DAP menang di dua kubu kuat pembangkang iaitu Kampung Sim-Sim dan Pulau Berhala.

Menteri Kewangan Malaysia itu turut melahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Haji Apdal kerana telah bertungkus-lumus berkempen untuk memastikan kemenangan mutlak Vivian dalam PRK itu.

Beliau berkata, kemenangan calon DAP itu bukan semata-mata kemenangan bagi DAP mahu pun Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan), tetapi ia adalah kemenangan bagi Shafie sendiri.

“Walaupun peratusan keluar mengundi turun dari 70 peratus kepada 54 peratus, tetapi kita berjaya menambahkan majoriti, dan ini satu keputusan yang di luar jangkaan, bahkan kita berjaya gerakkan satu tsunami pilihan raya kecil,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman rasmi PRK Parlimen Sandakan di Pusat Penjumlahan Undi, Dewan Aktiviti SMJK Tionghua, malam Sabtu.

Lim berkata kemenangan Vivian merupakan satu hadiah kepada kerajaan PH di peringkat persekutuan dan Warisan di peringkat negeri yang genap setahun memerintah.

“Ini adalah satu kemenangan rakyat dan saya percaya Vivian akan lebih banyak kerja untuk rakyatnya di kawasan Parlimen Sandakan. Berikan beliau rehat yang secukupnya kerana selepas ini dia akan berjumpa rakyat untuk ucap terima kasih atas kemenangan yang cukup bermakna kepada kita semua,” katanya.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan Vivian dengan calon PBS, Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu Hamzah Abdullah, Chia Siew Yung dan Sulaiman Abdul Samat.

Vivian memperolehi undi sebanyak 16,012, manakala Linda (4,491), Hamzah (788), Chia (178) dan Sulaiman (126), sekali gus memperolehi majoriti 11,521.

ep2p-5small