Coutinho jadi ‘umpan’ untuk dapatkan Neymar – bazookapenaka.my

Related imageBARCELONA 29 Mei – Barcelona bersedia menawarkan Philippe Coutinho kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam usaha membawa pulang Neymar ke Camp Nou, musim panas ini.


Neymar, 27, masih gagal menyesuaikan diri dengan gergasi bola sepak Perancis itu sejak menyertai mereka dengan perpindahan rekod dunia, 198 juta pound (RM1.05 bilion) pada 2017.

Menurut akhbar Daily Record, Barcleona mempertimbangkan untuk menggunakan Coutinho atau penyerang Perancis, Ousmane Dembele sebagai sebahagian daripada tawaran bagi mendapatkan Neymar.

Kedua-dua pemain adalah sasaran PSG sebelum masing-masing memilih untuk berpindah ke Camp Nou dari Liverpool dan Borussia Dortmund.

Bagaimanapun, baik Coutinho, 26, mahu pun Dembele, 22, gagal menyerlah di bawah bimbingan Ernesto Valverde, yang mana Barcelona hanya menutup musim dengan satu trofi iaitu juara La Liga.

Selain Barcelona, musuh ketat mereka, Real Madrid juga dikatakan mahu mendapatkan Neymar dan bersedia menawarkan pakej yang mungkin sukar ditolak penyerang Brazil itu iaitu bernilai 1.2 juta pound (RM6.37 juta) seminggu.



Menurut akhbar Sepanyol, AS, tuntutan gaji Neymar yang tinggi menyebabkan dia perlu mencari kelab yang benar-benar berkemampuan jika mahu meninggalkan Parc des Princes.

Pengurus PSG, Thomas Tuchel baru-baru ini mengakui, dia tidak dapat memberi jaminan sama ada Neymar atau seorang lagi bintang penyerang mereka, Kylian Mbappe akan kekal bersama pasukan musim depan.

“Pada saya situasinya begini, apabila kami dikaitkan dengan begitu banyak spekulasi, itu bermakna kami memiliki ramai pemain berkualiti serta berbakat.

“Sebagai pengurus dan jurulatih, sudah tentu saya berharap semua pemain kekal bersama PSG kerana kami mempunyai projek baharu. Kerja kami belum berakhir, ia hanya baru bermula.

“Permintaan saya sangat jelas tetapi saya tidak boleh menjamin apa-apa kerana kita berada dalam urus niaga (bola sepak) yang sukar dijangka,” katanya. – AGENSI

ep2p-2