AMD Mengesahkan Akan Melancarkan Produk 7nm Baru Pada Suku Ketiga Tahun Ini – Amanz

AMD bakal memperkenalkan beberapa siri terbaru didalam portfolio CPU dan kad grafik mereka tidak lama lagi, dan walaupun banyak butiran tidak diketahui lagi, nampaknya kita kini dapat mengagak bilakah komponen-komponen tersebut akan dilancarkan.

Melalui slaid yang ditunjukkan di mesyuarat pemegang saham AMD, syarikat tersebut nampaknya bakal melancarkan sekurang-kurangnya tiga produk pada suku ketiga 2019 kelak.

Ini termasuklah CPU AMD Ryzen generasi ketiga yang menggunakan cip pemprosesan Zen 2 yang dibina menggunakan proses 7nm dan dikatakan akan hadir dengan sebanyak 16 teras. CPU untuk pusat data, AMD EPYC juga menggunakan Zen 2, dan akan hadir dengan sebanyak 64 teras fizikal.

Kad grafik dari siri Radeon yang menggunakan cip 7nm Navi turut akan diperkenalkan di acara COMPUTEX, dan berdasarkan slaid yang sama, juga akan dilancarkan pada suku ketiga 2019, mungkin sama saing dengan CPU AMD Ryzen dan juga EPYC.

Anehnya, CPU siri HEDT (High End Desktop) AMD yang dinamakan Threadripper tidak disebut didalam slaid tersebut. Terdapat kebarangkalian bahawa AMD sedang menyimpan siri CPU tersebut untuk pelancaran akan datang, tetapi buat masa ini tidak ada sebarang butiran yang dapat dilihat mengenai CPU tersebut.

Sama-sama kita nantikan pelancaran besar oleh AMD di acara COMPUTEX Taipei tidak lama lagi, dimana CEOnya, Dr. Lisa Su akan hadir dengan ucaptama beliau.

ep2p-2