Saintis dedah wanita lebih pandai dari lelaki tangkap pasangan curang – bazookapenaka.my

PARA saintis mendedahkan bahawa wanita boleh membuat penilaian sama ada seorang lelaki itu curang atau tidak dengan hanya melihat wajahnya.

Ini berbeza dengan lelaki yang gagal mengesan perkara itu dengan cara yang sama, lapor AFP.

Para penyelidik di University of Western Australia menggunakan responden sekumpulan 1,500 individu dengan menunjukkan gambar 189 orang dewasa Kaukasia (101 lelaki dan 88 wanita), dengan soalan pertama adalah jika mereka boleh mengesan kecurangan hanya dengan melihat pada gambar-gambar itu.

Responden kemudian diminta memberikan ranking wajah-wajah tersebut pada skala 1 hingga 10, di mana 1 bermaksud “tidak mungkin curang” dan 10 adalah “sangat berkemungkinan untuk curang”.


Hasilnya, lelaki dan wanita boleh mengesan jika lelaki lain curang, tetapi lelaki tidak boleh membuat penilaian terhadap wanita.

“Kedua-dua lelaki dan wanita menunjukkan ketepatan dalam menilai air wajah lelaki tetapi bukan wajah wanita.

“Ia secara umumnya berkait rapat dengan pameran maskuliniti, walaupun penyelidik turut membuat satu kesimpulan lain yang menunjukkan lelaki dengan rupa paras kurang menarik lebih kerap dinilai sebagai setia.

“Namun mengejutkan kerana walaupun lelaki tampan dinilai akan atau berkemungkinan curang, mereka jarang terbabit dalam aktiviti yang menjurus kepada curang secara fizikal,” kata para penyelidik dalam jurnal Royal Society Open Science.

Walaubagaimanapun, salah seorang penyelidik yang terlibat dalam laporan itu, Dr Yong Zhi Foo, mengingatkan orang ramai agar tidak cepat membuat kesimpulan.

“Jika kita terlalu bergantung kepada tanggapan pertama, ada kemungkinan kita akan membuat kesilapan besar.

“Dapatan kajian itu tidak boleh dijadikan penanda aras atau mempengaruhi cara kita menjalani kehidupan seharian,” kata Foo kepada Agence France-Presse.

ep2p-5small