Juventus juarai Serie A kali kelapan berturut-turut – bazookapenaka.my

MILAN: Juventus meraih gelaran kali kelapan berturut turut selepas bangkit membenam Fiorentina 2-1 dalam saingan Serie A, pagi tadi.

Tandukan Alex Sandro pada minit ke-37 dan gol sendiri pertahanan Fiorentina, German Pezzella selepas tertampan hantaran lintang Cristiano Ronaldo pada minit ke-53 cukup buat Juventus merangkul kejuaraan ke-35 Scudetto.


Pada saingan itu, pertahanan dari Serbia, Nikola Milenkovic terlebih dahulu meletakkan Fiorentina di depan seawal minit keenam.

Namun, dengan kehadiran pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or, Ronaldo, Juventus jelas menguasai pentas liga musim ini apabila berada di puncak dengan 87 mata iaitu kelebihan 20 mata mengatasi pencabar terdekat, Napoli dengan berbaki lima perlawanan.

Anak buah Massimiliano Allegri merakam 28 kemenangan, tiga seri dan hanya kalah dua perlawanan iaitu di tangan Genoa dan SPAL.

Gelaran kali kelapan berturut-turut yang dimenangi Juventus turut mengatasi rekod kelab Perancis, Lyon dalam kancah bola sepak di Eropah.

Juventus turut menyamai rekod kelab Torino pada 1948, Fiorentina (1956) dan Inter Milan (2007) yang masing-masing menjuarai Serie A dengan aksi liga masih berbaki lima perlawanan.

Begitupun, malang buat anak buah Allegri apabila mereka tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara ketika hanya memerlukan hanya satu gol untuk mara ke separuh akhir apabila tewas di tangan Ajax, Selasa lalu.

Juventus dibelenggu masalah kecederaan yang menimpa pemain pertahanan veterannya, Giorgio Chiellini bersama Sami Khedira, Mario Mandzukic, Paulo Dybala dan Douglas Costa.

Dalam saingan pagi tadi, Ronaldo mengancam kubu lawan lebih awal namun pertahanan lawan Milenkovic memecah kebuntuan menerusi gol pertama untuk memberi harapan buat Fiorentina menang pertama kali di Stadium Allianz selepas lapan kali mencuba.

Jaringan Giovanni Simeone pada minit ke-25 dibatalkan sebelum Sandro menanduk sepakan percuma Miralem Pjanic untuk menyamakan kedudukan sebelum rehat.

Sebaik babak kedua bersambung, Ronaldo kembali mengancam dengan hantaran lintang kepada Federico Bernardeschi namun Pezzella silap langkah tertampan bola ke gawang sendiri.

Allegri juga memasukkan pemain muda, Moise Kean menggantikan Bernardeschi pada minit ke-74, namun pemain berusia 19 tahun itu tidak berpeluang menambah jaringan.


Ronaldo lega dengan kemenangan pada musim pertama tiba di Itali selepas hampa untuk menambah koleksi keenam trofi Liga Juara-Juara.

Kemenangan itu juga kejayaan keenam liga domestik buat pemain berusia 34 tahun iaitu tiga gelaran ketika bersama Manchester United dan dua bersama Real Madrid.

Setakat ini, penyerang sensasi Portugal itu sudah mengumpul 28 trofi keseluruhan termasuk satu gelaran Euro 2016.

Dalam pada itu, Juventus juga berpeluang menyamai rekod menamatkan musim dengan mengumpul 102 mata ketika kelab itu dikendalikan Antonio Conte pada 2014. – AFP

ep2p-2