JDT hampir ikat Shandong – bazookapenaka.my

Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mara ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) semakin sulit sebaik tewas 1-2 kepada Shandong Luneng dalam aksi ketiga Kumpulan E di Stadium Pusat Sukan Olimpik Jinan, sebentar tadi.

Namun, skuad Harimau Selatan itu memaparkan aksi terpuji ketika hampir mengikat lawan yang diperkasakan bekas bintang Manchester United, Marouane Fellaini.


Gol daripada Fellaini dan Graziano Pelle memberikan Shandong kelebihan dua gol dalam babak pertama sebelum Safawi Rasid menjaringkan gol bertaraf dunia dalam babak berikutnya bagi merapatkan kedudukan.

JDT mengimbangi perlawanan sepanjang setengah jam pertama, namun kealpaan mereka dalam mengawal Fellaini membenarkan pemain itu menanduk masuk bola sepakan penjuru kapten pasukan, Hao Junmin.

Terkesan dengan jaringan itu, JDT seakan-akan buntu menyekat serangan Shandong sehingga Aidil Zafuan Abdul Radzak terpaksa menjatuhkan Pelle dalam kawasan penalti.

Susulan itu, Pelle memanfaatkan kesempatan tersebut untuk menjaringkan gol kedua Shandong untuk pasukan pelawat berkelebihan selesa menuju waktu rehat.

JDT, bagaimanapun, memperkemaskan aksi dalam babak kedua untuk merapatkan jurang menerusi jaringan gemilang Safawi pada minit ke-60.

Dengan memanfaatkan hantaran daripada Akhyar Rashid, Safawi mengeksploitasi ruang di sebelah kanan untuk melepaskan rembatan kaki kiri melencong yang tepat menuju ke penjuru kiri atas gawang yang dijaga Wang Dalei.


Peluang terbaik skuad Harimau Selatan itu untuk menyamakan kedudukan tiba dalam waktu kecederaan, namun sepakan percuma Gonzalo Cabrera sekadar menggegar palang gol lawan.

Kekalahan terbaru itu menyukarkan peluang JDT untuk melangkah ke pusingan kedua apabila terporosok di tangga tercorot dengan satu mata daripada tiga perlawanan.

Shandong pula melonjak ke tangga kedua dengan lima mata, satu mata di belakang pendahulu Kumpulan E, Kashima Antlers, yang meraih tiga mata di laman Gyeongnam FC hasil kemenangan 3-2.

ep2p-5small