Bumiputera dan melayu gagal dalam perniagaan kerana tak tahu uruskan wang

Kaum bumiputera di negara ini tidak berorientasikan perniagaan berbanding kaum lain, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad seperti yang dilaporkan oleh portal TheStar.

“Setakat yang saya dapat lihat, bumiputera bukan berorientasikan perniagaan manakala masyarakat lain sangat berorientasikan perniagaan.

“Kaum bumiputera masih tidak tahu cara untuk mengendalikan atau menguruskan wang kerana wang bagi mereka adalah sesuatu yang perlu dibelanjakan, bukan untuk melabur.

“Jadi, walaupun mereka meminjam wang untuk dijadikan modal, sebahagian daripada wang itu dibelanjakan untuk membeli perkara yang tidak ada kaitan dengan perniagaan,” katanya melalui satu temubual bersama Focus Malaysia.

Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau kini menumpukan kepada golongan muda bumiputera untuk mengubah “sistem nilai dan amalan” mereka supaya mereka dapat mengurus perniagaan dengan lebih baik.

“Orang muda memberi kita banyak harapan tetapi mereka juga harus ingat bahawa mereka menjalankan perniagaan untuk mengurangkan perbezaan pendapatan antara bumiputera dan yang lain.

“Sekiranya tidak dikurangkan (jurang pendapatan antara kaum), akan tiba masanya nanti mereka berasa marah, kerana mereka menjadi orang miskin di negara yang kaya, dan ketika itu akan wujud ketidakstabilan,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata, orang Melayu perlu menyedari bahawa hanya melalui perniagaan sahaja mereka boleh berjaya, sambil menambahkan bahawa perniagaan juga memerlukan “disiplin tertentu”.

Dalam temubual itu juga, Dr Mahathir juga menekankan bahawa meskipun kerajaan telah memutuskan untuk menghapuskan rundingan langsung dengan syarikat-syarikat apabila ia berkaitan dengan kontrak kerajaan, beliau mendakwa bahawa dalam sektor swasta, syarikat-syarikat bumiputera/melayu ini tidak pernah mendapat kontrak.

“Apabila anda tidak mempunyai rundingan terus atau tender terhad, anda mempunyai tender terbuka, hampir semua syarikat Melayu gagal.

“Kontrak sektor swasta tidak pergi ke orang Melayu dan kontrak kerajaan juga tidak pergi ke orang Melayu. Apa yang anda akan lihat adalah perbezaan yang lebih besar antara kaum,” katanya.

ep2p-2