Bonus Tabung Haji Terendah Dalam Sejarah, Menteri Salahkan Kerajaan Terdahulu

PUTRAJAYA – Setelah lama dinanti-nantikan, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) hari ini mengumumkan agihan hibah atau bonus bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus melibatkan pengagihan RM913 juta kepada semua pendeposit.

Kadar hibah itu merupakan agihan terendah dalam sejarah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mewarisi Tabung Haji daripada kerajaan sebelum ini dalam suasana yang disifatkannya sebagai amat menyedihkan.

“Selama empat tahun berturut-turut Tabung Haji telah keluarkan dividen dengan melanggar aktanya sendiri. Kerana itu kita hadapi masalah jurang defisit tinggi berbanding aset.

“Inilah legasi (dari kerajaan dahulu) bukan apa yang kita buat. Sebanyak RM17.8 bilion adalah kos salah laku dalam Tabung Haji sebelum ini. Kita harap insya-Allah selepas proses penstrukturan ini Tabung Haji akan memberikan dividen yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Taklimat Prestasi Lembaga Tabung Haji dan Pengumuman Hibah Bagi Tahun 2018 di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.

Lain-Lain Berita;-

Dividen KWSP 6.15 Peratus, Merosot Berbanding Tahun Sebelumnya

Kadar Dividen KWSP Merosot, Tapi Lim Guan Eng Dakwa Prestasi Terbaik

PNB Umum Dividen 2018 ASB 7 Sen Seunit, Merosot Berbanding Tahun Lalu

Agihan Pendapatan ASM dan ASB2 Lebih Rendah Dari Sebelumnya

Yang turut hadir timbalannya, Fuziah Salleh; Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Md. Nor Yusof serta Pengarah Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat .

Mengikut rekod, 2012 merupakan tahun tertinggi pemberian hibah Tabung Haji iaitu 6.5 peratus disusuli 2014 (6.25 peratus dan penambatan 2 peratus hibah haji); 2013 (6 peratus dan penambahan 2 peratus hibah haji); 2015 (5 peratus dan penambahan 3 peratus hibah haji); 2017 (4.5 peratus dan penambahan 1.75 peratus hibah haji) dan 2016 (4.25 peratus dan penambahan 1.5 peratus hibah haji).

Dalam pada itu, Mujahid menambah, pelan penstrukturan yang dilaksanakan membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyelamatkan Tabung Haji demi kepentingan 9.3 juta pendepositnya.

Dalam menzahirkan komitmen itu jelasnya, kerajaan akan memberi peruntukan sebanyak RM500 juta pada 2020 dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuk ditebus semula.

Sementara itu, Zukri berkata, Tabung Haji telah mencatatkan lebihan aset sebanyak RM1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun lalu sekali gus menunjukkan kedudukan kewangan yang semakin pulih jika dibandingkan dengan keadaan defisit aset RM4.1 bilion yang dialami berdasarkan laporan kewangan diaudit bagi 2017.

“Setakat 31 Disember 2018, Tabung Haji merekodkan aset keseluruhan berjumlah RM76.5 bilion yang lebih tinggi berbanding liabiliti berjumlah RM75.5 bilion. Pendapatan bagi tahun tersebut adalah RM4.2 bilion manakala keuntungan boleh agih sebanyak RM2 bilion,” katanya. – UTUSAN

ep2p-5small