Ahli Majlis Ditahan, Disyaki Bersekedudukan Dengan Lelaki Warga Asing

TAMPIN – Ahli Majlis wanita di Tampin ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) kerana dipercayai melindungi lelaki warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen sah di negara ini, selain didakwa bersekedudukan di Gemas, kelmarin.

Sumber JIMNS berkata, pihaknya menerima aduan penduduk 6 Mac lalu selepas melihat pasangan itu menetap bersama dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, penduduk memberitahu mereka tiada maklumat pasangan berkenaan sudah berkahwin.

Menurutnya, aduan juga mengatakan lelaki Indonesia itu menjual rokok seludup kepada penduduk kampung berkenaan.

“Wanita berusia 45 tahun itu dikatakan sudah bercerai lima tahun lalu sebelum menetap bersama lelaki warga Indonesia berusia 34 tahun.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota ke kediaman mereka jam 6.15 petang. Menyedari kehadiran anggota, lelaki terbabit melarikan diri dan bersembunyi di dalam almari pakaian.

“Pemeriksaan mendapati suspek tidak memiliki pas atau permit yang sah di negara ini. Pada masa sama pasport miliknya tamat tempoh,” katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut sumber itu, pasangan terbabit mendakwa sudah berkahwin di negara jiran beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah JIMNS, Mohammed Khalil Ali ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/ 63 kerana tinggal lebih masa.

Beliau berkata, Ahli Majlis terbabit pula dikenakan saman untuk hadir ke pejabat bagi memberikan keterangan. – Hmetro

ep2p-2