Penjawat Awam harus bantu kerajaan kurangkan hutang negara dalam tempoh 3 tahun

Anggota CUEPACS dan penjawat awam disarankan agar memberikan kerjasama kepada kepemimpinan kerajaan baharu bagi menyokong usaha pemulihan negara.

Berbekalkan keamanan dan bebas daripada sebarang tindakan liar, usaha itu berupaya dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun, sekali gus memacu matlamat ke arah mencapai status negara maju menjelang 2025, kata Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita minta CUEPACS dan jentera kerajaan bersabar sikit, malah ‘ikat perut’ supaya hutang negara yang menjangkau nilai trilion ringgit angkara pentadbiran terdahulu dapat dikurangkan.

“Apabila hutang berkurangan, kita akan dapat membelanjakan wang ke arah usaha menangani peningkatan kos sara hidup dengan menyalurkan bantuan bersesuaian kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir menjelaskan bahawa sistem kerja lama berteraskan tiga garis panduan akan dikembalikan dalam jentera operasi kerajaan bagi menangani isu kerenah birokrasi.

Perdana Menteri berkata, tiga garis panduan merangkumi sistem fail kerja, tatacara prosedur dan carta aliran tugas itu ketika ini dalam fasa akhir perincian sebelum ia dihebahkan ke sektor perkhidmatan awam.

“Saya sudah bincang dengan KSN (Ketua Setiausaha Negara) untuk perkenalkan balik sistem lama, iaitu fail kerja, tatacara prosedur dan carta aliran tugas supaya penjawat awam dapat mengenal pasti apa permintaan pengguna.

“Ini cara tingkatkan kecekapan dalam bidang berkaitan birokrasi, namun orang ramai juga perlu tahu tempat untuk dituju jika ingin meminta sesuatu kelulusan.

“KSN ketika ini berusaha untuk bekalkan kepada orang awam berhubung apa yang perlu dilakukan sekiranya ingin melaksanakan sesuatu urusan.

“Contohnya nak buka hotel, apa yang perlu dilakukan dan di mana tempat untuk dituju bagi mendapatkan kelulusan,” katanya pada sesi dialog sempena Perhimpunan Perdana Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

ep2p-2