Kerajaan PH wajar lebih sopan tangani golongan LGBT

Walaupun Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Mujahid Yusuf Rawa menegaskan bahawa LGBT adalah tetap salah disisi Islam, namun Kerajaan PH disarankan agar lebih berlembut terhadap golongan berkenaan.

Menurut anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, pendekatan berhemah dan sopan wajar digunakan dalam menangani komuniti LGBT yang menyertai himpunan Hari Wanita Sedunia baru-baru ini.

Pengarah komunikasi KEADILAN itu juga mengambil iktibar daripada nasihat yang disampaikan mufti Wilayah Persekutuan.

“Saya beranggapan jika kita ambil pendirian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang berusaha menangani isu LGBT ini yang berusaha untuk berdakwah secara menyantuni mengajak duduk berbincang minum teh sambil kita saling memahami pendirian.

“Saya rasa itu adalah baik bagi menangani isu LGBT,” katanya kepada KeadilanDaily.

Fahmi percaya isu yang lebih pokok adalah mengangkat hal-ehwal berkaitan wanita.

“Bagi saya yang lebih penting ialah isu yang diangkat seperti hak kesenjangan pendapatan seperti secara purata wanita menerima gaji kurang daripada lelaki,” katanya.

Netizen di Malaysia sebelum ini hangat membincangkan perarakan Hari Wanita Sedunia 2019 yang berlangsung pada 9 Mac lalu dan turut disertai komuniti LGBT yang melaungkan tuntutan agar hak mereka dihormati.

ep2p-2