Kenapa Aset Tabung Haji Dijual dan Diuruskan Bukan Islam?

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO terkilan dan kesal apabila mengetahui aset-aset Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) bernilai RM19.9 bilion telah dijual dan dipindahkan daripada tabung dana itu kepada sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) yang diurus sepenuhnya bukan Islam.

Kekecewaan itu dizahirkan Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang memberitahu, sejak awal lagi, Pemuda UMNO berasa amat curiga apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pemindahan atau penjualan aset-aset Tabung Haji kepada SPV yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

Katanya, Tabung Haji boleh sahaja mewujudkan SPV yang kekal di bawah seliaannya sebagaimana model-model penerbitan sukuk yang dilakukan oleh banyak institusi dalam dan luar negara dengan tujuan menstrukturkan kembali kedudukan aset dan liabiliti di dalam kunci kira-kira institusi berkenaan.

“Pergerakan Pemuda UMNO amat terkilan dengan jawapan bertulis Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof di Parlimen kelmarin yang akhirnya mengakui bahawa aset-aset Tabung Haji (TH) bernilai RM19.9 billion telah dijual dan dipindahkan daripada TH kepada sebuah SPV (Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.) yang hakikatnya diurus sepenuhnya oleh Prokhas Sdn. Bhd. yang mana ketua pegawai eksekutifnya, Chen Yin Heng.

“Persoalannya apakah tiada langsung tokoh-tokoh Islam bumiputera yang berkelayakan menguruskan harta umat Islam? Apakah jaminan aset-aset bernilai yang selama ini dimiliki oleh umat Islam melalui institusi yang cukup dihormati dunia Tabung Haji satu persatu tidak dikhianati dan jatuh ke tangan orang lain?,” katanya menerusi status dalam Facebook hari ini.

Image may contain: 3 people, people smiling, text

Tambah Asyraf Wajdi, Mujahid juga bertanggungjawab untuk meyakinkan umat Islam bahawa penstrukturan korporat Tabung Haji melalui penjualan aset-aset kepada SPV adalah telus dan tiada kompromi terhadap kepentingan umat Islam termasuk aspek pematuhan syariahnya.

Ini berikutan terlalu banyak kesangsian dan kerahsiaan dalam transaksinya yang melibatkan aset-aset umat Islam sebelum ini.

“Justeru, Pemuda UMNO mendesak agar Mujahid mengambil tanggungjawab sepenuhnya selaku menteri yang diamanahkan menjaga kepentingan institusi terulung umat Islam, Tabung Haji dengan memberikan jawapan yang telus dan tuntas atas segala keresahan rakyat terutamanya di kalangan umat Islam hari ini,” ujarnya. – UTUSAN

ep2p-5small