Hilang selepas serangan pengganas, Mohd Haziq belum ditemui

Mohd Haziq dan ayahnya Mohd Tarmizi

KUALA LUMPUR: Remaja Malaysia, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang dilaporkan hilang selepas serangan pengganas di masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lepas masih belum ditemui.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh, yang berada di sana, berkata usaha mengesan remaja itu sedang dilakukan oleh polis New Zealand berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada ibunya.


“Ibu Mohd Haziq kini ada bersama pihak polis untuk memberikan nama yang betul, gambar yang betul kerana memang ada mayat-mayat yang belum dikenal pasti, jadi mereka harus membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum ada apa-apa kenyataan daripada polis.

“Pada masa ini kami hanya berharap sesiapa yang ada maklumat mengenai Mohd haziq agar memanjangkannya kepada kami,” kata Phee ketika dihubungi Bernama News Channel, hari ini.

Mariani Shuib,49, tidak dapat menahan perasaan sebak ketika ditemubual oleh para wartawan di kediaman kakaknya di Hutan Kampung di sini.


Mangsa tembakan rambang Rahimi Ahmad, lepas keluar dari bilik pengimbas CT (CT SCAN) di Hospital Christchurch, New Zealand. – Foto ihsan Azrul Mahathir Aziz

Sementara itu, Phee berkata, seorang lagi mangsa, Rahimi Ahmad, 39, dari Pulau Pinang pula telah selesai menjalani pembedahan untuk mengeluarkan serpihan peluru daripada tubuhnya.

Dua lagi rakyat Malaysia yang cedera iaitu Mohd Tarmizi Shuib, 46 dari Kedah dan Mohd Nazril Hisham Omar, 46, dari Kelantan juga sedang menerima rawatan di hospital sama.

Mohd Haziq merupakan anak kepada Mohd Tarmizi.

Setakat ini, pihak berkuasa New Zealand mengesahkan 50 maut dan 20 cedera dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch. – BERNAMA

ep2p-5small