‘Budak Kerbau’, Muhammad Syukur, dikejarkan ke hospital setelah jatuh dari kerbau

KUALA TERENGGANU: Remaja dari Terengganu yang mendapat jolokan ‘Budak Kerbau’, Muhammad Syukur Khamis, 14, dilaporkan telah dikejarkan ke Wad Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada Sabtu selepas terjatuh ketika bermain dengan kerbaunya.

Muhammad Syukur dikatakan terjatuh ketika melompat dari belakang seekor kerbau untuk berpijak di atas seekor kerbau yang lain.


Insiden yang berlaku kira-kira jam 8 pagi itu membuatkan Muhammad Syukur termuntah sebanyak tiga kali sebelum dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Abangnya Alias Khamis berkata, adiknya itu jatuh ketika sedang jalani sesi fotografi bersama seorang jurugambar dari Pulau Pinang.

Bernama melaporkan, bapanya, Khamis Jusoh, 63, berkata pada awalnya, anak bongsu lapan beradik itu hanya luka di bahagian bahu.

“Muhammad Syukur tidak pula mengadu sakit dan terus aktif sepanjang hari seperti biasa. Malah, beliau sempat mengikut abang-abangnya pergi memancing ikan kira-kira 3.30 petang tadi.



“Pulang memancing, mereka juga sempat singgah di kedai untuk menikmati roti tempayan, namun dalam perjalanan pulang, Muhammad Syukur ada mengadu loya dan terus muntah-muntah. Oleh kerana risau ia simptom akibat insiden terjatuh itu, beliau dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya pada lewat Sabtu malam.

Menurut Khamis, Muhammad Syukur yang sejak kecil telah biasa bersama lebih 100 ekor kerbau peliharaannya tidak pernah terjatuh sebelum ini dan kejadian itu adalah pertama kali berlaku.

BACA: Syukur Bangga Gambar Kerbau Milik Ayahnya Dapat Perhatian Dunia

Muhammad Syukur mula dikenali selepas aksi mesranya bersama kawanan kerbau dirakamkan jurugambar profesional, selain ditularkan di media sosial.

Selain dipanggil sebagai ‘budak kerbau’, dia juga mendapat jolokan sebagai Mowgli Malaysia dan ‘budak koboi’ oleh pengikutnya.

ep2p-5small