Anwar Ketawa Lihat Azmin dan Annuar Bertelingkah Isu Undi Tak Percaya PM

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tampak kurang senang apabila pembangkang bercakap tentang undi tidak percaya, memberi jaminan keseluruhan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa berbelah bahagi.

Kata Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, sehingga kini kesemua pimpinan PH bukan sahaja menyokong kepimpinan Dr Mahathir, malah akan terus berada di belakang beliau tidak kira apa juga berlaku.

“Tidak timbul langsung soal undi tidak percaya di sini. Hari ini kita (PH) telah menekankan untuk memberi sokongan yang kuat dan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ahli Parlimen Ketereh (BN), Tan Sri Annuar Musa bertanyakan tentang undi tidak percaya selain daripada rasional mengapa Ahli Parlimen Port Dickson (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dilantik Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Kata Annuar, dengan kelebihan berpengalaman untuk sekian lama dalam bidang ekonomi dan kewangan negara apatah lagi pernah menjadi Menteri Kewangan sebelum ini, mengapakah Anwar tidak dilantik dalam MTEN.

Namun Azmin yang enggan melayan Annuar sebaliknya menyoal kembali mengapa baru kini beliau menyatakan sokongan kepada Anwar setelah 20 tahun berlalu dengan tidak lebih daripada serangan selama ini.

“Saya kenal lama dengan Ketereh ini, baru pagi ini hendak sokong Port Dickson? Setahu saya, selama 20 tahun Ketereh ini juga yang bertanggungjawab menyerang Port Dickson,” sindir Azmin.

Annuar kemudian bangun dan menyatakan dirinya tidak menyokong tetapi hanya sekadar mencadangkan sahaja tentang perkara.

“Sokong atau tidak saya terhadap Anwar Ibrahim, kita tunggu sahaja masa undi tidak percaya nanti,” kata Annuar.

Anwar Ibrahim pula dilihat hanya ketawa tidak henti-henti menyaksikan pertelingkahan Annuar dan Azmin itu. –MalaysiaGazette

ep2p-2