Adun DAP Kurang Ajar Cuba Kaitkan Kerjasama UMNO, PAS Dengan Serangan Di New Zealand

KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Song Sin yang menyamakan serangan di Christchurch, New Zealand dengan permuafakatan UMNO dan Pas sebelum menarik balik kenyataan itu dalam sebuah portal tempatan disifatkan sebagai kurang ajar dan melampau.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan kenyataan pemimpin DAP itu tidak sensitif perasaan umat Islam yang bersedih dengan kematian mangsa seagama di negara tersebut.

Menurutnya, kenyataan pemimpin itu bukannya mahu bersimpati tetapi cuba memberi amaran seolah-olah insiden sama akan berulang di negara ini jika permuafakatan UMNO dan Pas menjadi kenyataan.

“Beliau mendakwa permufakatan ini hanya untuk memainkan sentimen agama dan bangsa.

“Apakah asas kenyataannya ini? Apakah selama 61 tahun UMNO mentadbir Malaysia, kaum dan agama lain dizalimi dan ditindas? Apakah kerajaan Pas yang memerintah kira-kira 30 tahun di Kelantan juga pernah menindas bukan Islam?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Memetik laporan portal Malaysiakini, Song Sin mendakwa insiden tembakan di Christchurch menjadi pengajaran kepada Malaysia perlunya mengekang gejala ekstremisme.

Chong Sin turut bimbang kerjasama UMNO dan Pas mampu menimbulkan naratif berkisar mengenai isu kaum dan agama.

Bagaimanapun kenyataan itu ditarik balik selepas mendapat kecaman pelbagai pihak.

Asyraf menambah, kenyataan pemimpin DAP itu serta beberapa pemimpin lain dalam parti tersebut semakin hari terserlah nilai pelampauan dan perkauman yang hakikatnya menjadi orientasi perjuangan DAP selama ini.

“Seharusnya rakyat berbilang agama dan bangsa wajar menolak parti rasis dan chauvinis itu yang boleh menjadi punca persengketaan, perselisihan agama serta kaum di negara ini,” katanya. – UTUSAN

ep2p-5small