Skuad OKS tersingkir walaupun menang pelawanan terakhir

AKSI pemain Malaysia ketika menentang Myanmar di Stadium RSN, Phnom Penh semalam. – IHSAN FB CAMBODIKUALA LUMPUR 22 Feb. – Malaysia yang turun tanpa pasukan terkuat dan berdepan pelbagai ujian sebelum berlepas ke Phnom Penh akhirnya ditunjukkan jalan keluar dalam Piala AFF Bawah 22 (B-22) biarpun meraih kemenangan pertama, hari ini.

Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee menumpaskan ­Myanmar 1-0 di Stadium RSN, malangnya kemenangan sudah tidak bermakna selepas Indonesia pula menumpaskan Kemboja 2-0 dalam satu lagi perlawanan yang diadakan serentak.

Itu bermakna, Indonesia mengiringi Kemboja ke separuh akhir selaku dua pasukan teratas Kumpulan B, sedangkan Malaysia yang pincang sejak awal sekadar menghuni tangga ketiga.

Bagi Kim Swee, kekalahan ini perit untuk diterima, namun mereka tidak boleh menoleh ke belakang dan kini memasang misi untuk bangkit dalam kelayakan Piala AFC B-23, bulan depan.

“Amat mengecewakan terkeluar daripada peringkat seterusnya tetapi kita tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana kita gagal mendapatkan mata dalam perlawanan pertama dan itu adalah pengajaran paling berguna.


“Selepas ini kita kena memikirkan tentang kelayakan AFC dan bersiap sedia lebih awal. saya percaya pemain telah membuktikan dengan semangat yang tinggi mereka boleh bermain baik.

“Saya juga tidak mahu menyentuh tentang pemain yang tiada di sini (tidak dilepaskan majikan) kerana yang penting mereka yang ada telah membuktikan semangat untuk bersama pasukan dan akan menjadi harapan saya dalam kelayakan AFC nanti,� kata Kim Swee dalam sidang akhbar.

Malaysia yang cuba mengimbangi corak permainan pantas Myanmar memiliki peluang terbaik pada minit ke-26 tapi tolakan lemah penyerang Jafri Firdaus Chew sekadar melintasi gawang lawan.

Gol yang dicari menjelma pada minit ke-45 selepas hantaran lintang Ahmad Tasnim Fitri disempurnakan oleh Hadi Fayyadh Abdul Razak.

ep2p-2