APABILA seorang pemain berpindah kelab, menjaringkan gol dalam tempoh hanya 20 saat mungkin satu cara terbaik untuk memperkenalkan diri anda kepada penyokong kelab.


Bekas pemain tengah Manchester United, Shinji Kagawa melakukannya apabila dia tampil dari bangku simpanan buat kelab terbarunya Besiktas susulan perpindahan secara pinjaman dari Borussia Dortmund.

Jika ia tidak mencukupi, dua minit kemudian dia menambah gol kedua peribadi ketika kelab Turki itu menang besar 6-2 di Antalyaspor dalam aksi Liga Super Turki, awal pagi tadi.

Kagawa, 29, masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-81 ketika pasukannya mendahului 4-1, menyelinap masuk dari sayap kiri sebelum merembat leret hanya selepas 18 saat sebelum menggandakan golnya menerusi sepakan percuma dari jarak 27 meter.



Pemain kebangsaan Jepun itu membantu Dortmund memenangi kejuaraan berganda liga dan piala pada 2012 dan bermain di Old Trafford selama dua tahun sebelum kembali ke kelab Bundesliga itu pada 2014.

Khidmatnya tidak begitu diperlukan jurulatih Dortmund, Lucien Favre dan dia menyertai Besiktas pada hari terakhir jendela perpindahan musim sejuk baru-baru ini.