MBPP Beri Alasan Selenggara Padang, Acara Sukan Punca Ceramah Dr Zakir Ditolak

GEORGETOWN – Pihak pengurusan Stadium Bandaraya sudah menerima tempahan daripada Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) membabitkan perlawanan bola sepak Liga Premier 2019 yang dijadualkan berlangsung bermula bulan ini hingga Julai depan.

Ia antara sebab Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tidak dapat mempertimbangkan permohonan dikemukakan Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa Pulau Pinang (IPSI) pada 10 Januari lalu untuk menganjurkan ceramah umum oleh penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik.

MBPP dalam kenyataannya berkata, Stadium Bandaraya juga sudah ditempah oleh sekolah, persatuan dan kelab sukan yang lain untuk acara sukan.

“MBPP turut mempunyai rutin penyelenggaraan padang dan stadium yang perlu dilaksanakan bagi memastikan venue sentiasa dalam keadaan baik untuk semua aktiviti sukan.

“Kerja-kerja penyelenggaraan stadium dan padang sudah dijadualkan sebelum permohonan diterima daripada Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa Pulau Pinang (IPSI),” menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam, Jabatan Khidmat Pengurusan MBPP, hari ini.

Terdahulu, BH melaporkan MBPP menolak permohonan IPSI yang ingin menganjurkan ceramah umum oleh Zakir.

Menerusi surat bertarikh 13 Februari lalu, MBPP menolak program yang ingin diadakan di Stadium Bandaraya itu pada 14 Jun depan.

Surat yang mulai viral di media sosial sejak semalam itu bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang alasan berhubung penolakan berkenaan. – BH

ep2p-5small