Kerajaan akan kaji rasa tak puas hati orang melayu terhadap PH.

Pakatan Harapan perlu menyelidik mesej tidak puas hati orang Melayu terhadap Pakatan Harapan seperti dinyatakan dalam hasil kaji selidik Ilham Centre baru-baru ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Memang saya membaca kaji selidik itu dan saya mengambil maklum.

“Kita mesti mendengar rintihan dan apa pendapat rakyat serta mengambil langkah-langkah perlu bagi melihat sama ada ia memang benar begitu atau dibayangkan,” katanya sewaktu bercakap kepada media di Pandan, Selangor.

Wan Azizah berkata majoriti penduduk Malaysia adalah Melayu dan kerajaan mesti memberi perhatian terhadap masalah masyarakat terbanyak.

Sebelum ini laporan media menyatakan kajian yang dijalankan di seluruh negara pada akhir tahun lalu menunjukkan hampir 60 peratus Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan Harapan.

Hasil daripada kajian itu menyatakan 54.4 peratus responden Melayu tidak percaya kerajaan serius melaksanakan agenda Melayu, termasuk mempertahankan hak Melayu serta Islam sebagai agama rasmi.

Kira-kira 60 peratus responden pula percaya orang bukan Muslim sedang menguasai kerajaan dan DAP yang membuat keputusan di Putrajaya.

Kaji selidik itu dijalankan oleh Ilham Centre bersama Penang Institute ke atas 2,614 responden bagi tempoh 24 Okt hingga 24 Dis 2018.

ep2p-2