Ini Adalah PowerBank 18,000mAh Yang Terbina Dengan Sokongan Selular Dan Sistem Operasi Android – Amanz

Peranti pintar yang hadir dengan bateri besar yang boleh mengecas peranti-peranti lain bukanlah sesuatu yang baru. Syarikat-syarikat seperti ASUS, Samsung dan Huawei adalah diantara jenama-jenama yang dikenali untuk membuat peranti yang mampu mengecas ini.

Tetapi adakah anda pernah jumpa sebuah power bank yang hadir dengan sokongan selular dan dilengkapi dengan sistem operasi Android? Ini adalah pandang pertama kami tentang Energizer Power Max P18K Pop.

Spesifikasi Dan Rekaan

Seperti yang boleh dilihat pada namanya, power bank pintar P18K Pop ini hadir dengan bateri lit-ion sebesar 18,000mAh. Ia turut dilengkapi dengan paparan 6.2 inci dengan resolusi Full HD dan dijana oleh CPU MediaTek Helio P70, memori sebanyak 6GB dan juga storan sebesar 128GB yang boleh ditambah sebanyak 128GB lagi dengan kad microSD. Peranti P18K Pop ini menggerakkan sistem operasi Android 9.0 Pie, dan juga hadir dengan sokongan untuk sambungan 4G dan LTE.

Di bahagian belakang peranti ini ialah sistem tri-kamera 12MP+5MP+2MP, manakala kamera pula menggunakan sistem dwi-kamera 16MP+12MP pop-up. Ya, disini dapat dilihat bahawa paparan skrin P18K Pop ini tidak hadir dengan sebarang takuk ataupun potongan paparan yang banyak digunakan oleh jenama-jenama peranti lain kebelakangan ini.

Sayangnya apa tiba giliran kami untuk membelek peranti P18K Pop ini, mekanisma pop-up kamera hadapan rosak, jadi modul kamera tersebut sentiasa dinaikkan dan tidak boleh ditutup.

Bercakap tentang rekaan, apabila kami membelek peranti ini kami perasan bahawa walaupun rangka dalamnya dikatakan menggunakan logam, rangka bahagian luar kebanyakannya menggunakan bahan polikarbonat, dan bahagian belakang sahaja yang dilihat menggunakan aluminum.

Di bahagian tepi kiri peranti ini dapat dilihat butang kuasa, butang audio dan juga pengimbas cap jari yang pada saya membuatkanperanti power bank ini kelihatan sperti sebuah peranti pintar yang agak lengkap. Walaupun begitu, ketebalan peranti ini pada ukuran 18mm membuatkannya kelihatan agak janggal, juga kerana lokasi butang-butang tersebut.

Dalam pada itu, apa yang paling aneh bagi saya mengenai peranti ini ialah Avenir Telecom, syarikat pembuat peranti ini yang melesenkan jenama Energizer untuk peranti ini tidak memuatkan palam audio 3.5mm walaupun saiznya sama tebal dengan tiga atau empat peranti Android yang lain. Jika ingin dikatakan peranti ini mempunyai sokongan IPXX, ia tidak dinyatakan di dalam risalah yang diberikan kepada kami.

Dari segi pengecasan, Energizer Power Max P18K Pop ini dikatakan hadir dengan teknologi pengecasan pantas melalui palam USB Type-C, akan tetapi, jurucakap Energizer berkata kepada kami bahawa untuk mengecas peranti ini daripada kosong sehingga penuh akan mengambil masa lapan jam.

Akan tetapi, satu berita baik disini ialah apabila ia dicas dengan penuh, peranti ini boleh digunakan secara terus selama 48 jam tanpa henti, dan jika digunakan secara biasa, kami pasti ia akan bertahan selama beberapa hari tanpa masalah.

Ciri utama peranti Energizer P18K Pop ini pastinya ialah kebolehannya untuk mengecas peranti-peranti lain, dan dengan pengecasan penuh, kami jangka ia mampu mengecas enam peranti dengan bateri 300mAh dari kosong hingga penuh, ataupun empat peranti 4000mAh secara penuh, dan satu peranti tersebut sehingga 50 peratus.

Penutup

Jujur saya katakan bahawa peranti Energizer P18K Pop ini bukanlah sebuah peranti pintar yang istimewa. Ia hadir dengan spesifikasi pertengahan yang dapat dilihat pada banyak peranti lain, dengan pengecualian terhadap saiz baterinya yang cukup melampau.

Pada pendapat saya ini adalah sebuah peranti aneh yang hanya menunjukkan sesebuah syarikat itu mampu melakukan sesuatu seperti ini sebagai shock factor, dan walaupun ia boleh dikatakan agak berguna sebagai sebuah peranti pengecasan yang boleh digunakan pada waktu kecemasan, ia adalah lebih murah jika anda hanya membeli sebuah power bank sahaja berbanding dengan peranti ini.

Saiz peranti P18K Pop yang serba tebal juga akan hadir dengan isu dimana ia tidak akan muat di dalam semua poket seluar, dan ramai pengguna mungkin perlu memasukkannya didalam beg galas atau beg tangan mereka jika mereka menggunakan peranti ini.

Apabila ditanya, pihak Energizer tidak pasti bilakah peranti ini akan dijual, dan juga tanda harganya. Oleh kerana pembuat peranti ini, Avenir Telecom berasal dari Perancis, mungkin ia hanya akan dihasilkan untuk pasaran Eropah sahaja.

ep2p-5small