Generasi kedua percaya PH mampu ubah nasib peneroka FELDA.

“Orang atas pagar macam saya disenaraihitamkan.  Ahli PAS tegar macam saya memang tak dapat apa-apa (bantuan).

“Dulu kita nak mengadu macam mana? Dulu kerajaan pusat dan kerajaan Pahang sama (BN). Kami ni tersepit walaupun sekarang. Malahan kami dah kena boikot pun,” luah salah seorang generasi kedua peneroka Felda, Norafandi Daud, 54, di Felda Sungai Koyan 1 semalam.

Memetik laporan dari Malaysiakini, sekumpulan generasi kedua peneroka Felda itu bertindak meluahkan perasaan tidak puas hati mereka terhadap BN kerana didakwa menganaktirikan mereka.

Mereka juga mendakwa diperlakukan sedemikian kerana dikatakan mempunyai berlainan ideologi politik.

Selain dianaktirikan, mereka juga mengadu bahawa biarpun Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail telah memegang jawatan Adun Jelai di situ selama empat penggal, tetapi pembangunan, kemudahan-kemudahan dan peluang pekerjaan masih terhad.

“Ada peluang pekerjaan yang terhad. Kita tak nak kerajaan buat jalan raya, turap jalan yang elok saja.

“Beri ‘gula-gula’ kepada kita. Kita nak benda yang tetap untuk generasi seterusnya,” kata Ramesh Kumar yang berusia 50 tahun.

Azman Nuruddin, 58, yang turut sependapat dengan Norafandi dan Ramesh berkata dengan peluang pekerjaan yang terhad di felda berkenaan, generasi kedua yang kebanyakannya tinggal bersama ibu bapa mereka terpaksa melakukan kerja-kerja am.

Katanya, selain mengambil upah potong rumput, mereka juga menyara hidup dengan menguruskan ladang kelapa sawit ibu bapa mereka.

“Sepatutnya ekonomi dah boleh berkembang. Kerja potong rumput tak ada pendapatan tetap.

“Kami (pernah) minta agensi lain tolong kami, tak ada datang. Kami minta wakil rakyat jumpa kami dan nak luahkan apa yang perlu,” katanya.

Mereka mengharapkan agar kerajaan PH dapat membela nasib mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang berlangsung pada 26 Januari ini.

ep2p-2