Belajarlah daripada Axelsen – Rashid

Image result for AxelsenKUALA LUMPUR : Bekas pemain badminton negara Rashid Sidek mahu anak didiknya mempelajari beberapa aspek daripada pemain Denmark, Viktor Axelsen yang berlatih bersama di Akademi Badminton Sports Affairs, minggu lalu.


Bekas juara dunia itu yang muncul kembali selepas pulih daripada kecederaan dialami pada 2018 menjadikan Kuala Lumpur medan latihan dalam misinya mempertahankan gelaran perseorangan lelaki Masters Malaysia minggu depan.

Rashid yang menjadi jurulatih kepada pemain bebas seperti Liew Daren dan Chong Wei Feng ketika dihubungi berkata, “Semuanya berjalan lancar buat Axelsen dan kelab (Akademi Badminton Sports Affairs), jadi itu sebab mengapa dia memilih KL sebagai tempat latihan menjelang Master Malaysia minggu depan.

“Axelsen dan Daren beraksi dalam pasukan sama (Ahmedabad) dalam Liga Perdana Badminton (BPL) di India. Axelsen tidak terbang balik ke Denmark sebaliknya datang ke sini.

“Saya fikir ia adalah baik untuk kedua-dua pihak kerana pemain kami teruja berlatih bersama bekas juara dunia dan Axelsen juga mendapat rakan pelatih yang bagus.”

Sejak tewas pusingan kedua di Terbuka Denmark pada Oktober lalu, Axelsen terpaksa diketepikan beberapa minggu akibat kecederaan buku lali.

Bagaimanapun, pemain nombor enam dunia itu menggunakan PBL sebagai platform untuk memulihkan kembali prestasinya.


“Saya kagum dengan tahap profesionalisme Axelsen,” kata Rashid yang keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2015.

“Seperti anda tahu di Denmark terdapat konflik di antara badan badminton negara itu dan pemain profesional tetapi ia tidak memberi kesan kepada Axelsen kerana fokusnya hanya kepada badminton.

“Untuk pemain seusianya, dia memiliki tahap profesional yang tinggi. Sikapnya ketika sesi latihan sangat berbeza. Jika berlatih selama satu jam setengah dia akan memastikan dapat melakukan yang terbaik.”

“Dia mengingatkan saya kepada Lee Chong Wei dan pemain Korea Lee Hyun Ill yang turut berlatih di Sports Affairs. Mereka memastikan mendapat latihan berkualiti, tiada tolak ansur.

“Sesuatu yang saya kagum dengan pemain Eropah ialah mereka tidak bergantung kepada orang lain terutamanya pendaftaran kejohanan, jadual latihan, perancangan dan lain-lain.

“Saya amat berharap pemain kita dapat menggunakan kesempatan ini dengan mempelajari sesuatu daripada mereka,” kata Rashid yang mengakui cabaran perseorangan lelaki kini lebih terbuka.

ep2p-5small