bazookapenaka.my | MFL sedia khidmat statistik

Image may contain: 6 people, people smiling, people standingKUALA LUMPUR: Seiring dengan kemajuan bola sepak era moden, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan menawarkan perkhidmatan statistik pemain dan perlawanan secara percuma kepada semua 24 pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula musim ini.

Pengenalan sistem perkongsian statistik itu dapat membantu jurulatih liga tempatan dalam persiapan mereka untuk membentuk pasukan yang lebih baik sebelum mengharungi sesuatu perlawanan.

Ia sekali gus dapat meningkatkan lagi kualiti Liga-M ke tahap lebih tinggi serta dapat mendidik jurulatih tempatan menggunakan teknologi itu.



Bagi pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, pengenalan sistem statistik itu akan memberi impak lebih positif kepada pasukan kebangsaan dalam usaha mengintai pemain berpotensi untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.

“Saya menyambut baik kaedah ini yang mana saya sendiri tidak dapat turun ke semua stadium bagi menilai persembahan pemain.

“Dengan pengenalan sistem ini, ia memberikan saya lebih banyak input tepat dalam usaha memilih pemain untuk diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan.

“Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk memuji langkah MFL yang sentiasa berusaha keras membantu meningkatkan kualiti Liga-M dan saya harap sistem ini akan kekal lebih lama bagi memudahkan tugas setiap jurulatih,” katanya.

Menerusi kaedah itu, jurulatih pasukan negeri atau kelab akan diberikan statistik mengikut prestasi pasukan masing-masing manakala pengendali pasukan kebangsaan memiliki akses untuk mendapatkan data setiap perlawanan.

Setiap pasukan akan menerima statistik pemain dan perlawanan secara terperinci dalam tempoh 48 jam selepas InStat menerima video perlawanan.

Dalam statistik itu, setiap jurulatih akan diberikan laporan terperinci antaranya peratusan hantaran tepat, jumlah hantaran, minit perlawanan, stamina pemain dan lain-lain berdasarkan video perlawanan yang diproses.

ep2p-2