Tak Wajar Bangkit Isu Nepotisme Dalam PKR – MB N.Sembilan

SEREMBAN — Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan Aminuddin Harun menggesa Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar agar mempertimbangkan semula keputusannya untuk meletakkan jawatan.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata ini kerana Nurul Izzah adalah antara penggerak utama dan penyumbang besar kekuatan parti sejak awal penubuhannya.

“Parti ini telah dibina bersama beliau dan beliau adalah penyumbang terbesar sehingga parti dapat mencapai sehingga ke tahap terbaik hari ini.

“Kenapa sekarang timbul soal nepotisme, ini tidak sepatutnya kerana di awal perjuangan kita lihat keluarga ini telah digunakan untuk menaikkan semangat semua ahli dan rakyat di negara kita.

“Tetapi apabila kita telah berjaya, timbul pelbagai cerita, peranan dan tanggungjawab dan ini merupakan satu isu nakal yang tidak harusnya berlaku.

“Sepatutnya sebagai ahli kita harus menghargai sumbangan dan peranan masing-masing yang telah diberikan samada banyak atau sedikit,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman mengejut Nurul Izzah kelmarin meletak jawatan Naib Presiden PKR. Anak kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga melepaskan jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata Nurul Izzah hendaklah mempertimbangkan semula keputusan tersebut untuk memastikan parti ini terus berjaya pada masa akan datang.

“Ini bukan untuk kepentingan individu tertentu, tetapi untuk keseluruhan rakyat yang sentiasa yakin dengan kepimpinan beliau, dengan idealisme perjuangan beliau.

“Kita juga yakin pemimpin muda ini mampu ke hadapan dengan lebih jayanya pada masa akan datang.

“Apa juga punca menyebabkan beliau melepaskan jawatan, saya rasa beliau harus timbang semula kerana demi kepentingan rakyat dan penyokong serta lebih utama pendokong dan juga gerakan kepimpinan beliau,” katanya.

Mengenai desakan pihak yang mempertikaikan pelantikan beliau sebagai Pengerusi MPN Negeri Sembilan yang tersiar di sebuah portal berita , beliau menyerahkan perkara itu kepada pucuk kepimpinan parti.

“Perkara ini dah selesai pun dan saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti sekali lagi,” katanya. — Bernama

ep2p-2