Mayat Dua Daripada Tiga Beradik Lemas Ditemui Pagi Tadi

MAYAT dua daripada tiga beradik yang lemas dipukul ombak besar di Pantai Sura Tengah, Dungun, semalam, ditemui hari ini.

Mayat Nurain Sofia Zawawi, 8, ditemui lima kilometer dari tempat kejadian oleh Pasukan Mencari Dan Menyelamat SAR, 7.48 pagi, sementara adiknya Nurain Salsabila Zawawi, 6, dijumpai 700 meter dari tempat kejadian pada 9.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

“Operasi SAR yang kita gerakkan sejak petang semalam membabitkan seramai 73 anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam APM.

“Pihak kami memperluaskan operasi dalam jarak 10 kilometer iaitu lima kilometer di kiri dan kanan pantai untuk.mencari mangsa ketiga,” katanya.

Dalam kejadian, 4.45 petang semalam, tiga beradik itu Nurain Salsabila Zawawi, 6, Nurain Sofia, 8, dan Nurain Fatma, 10, dikhuatiri lemas selepas dipukul ombak besar sebelum menariknya ke dalam laut.

Mangsa bertiga yang berasal dari Kampung Peringat Kelantan dikatakan mengikuti ibu saudaranya ke Dungun untuk bercuti. – HMetro

ep2p-5small