Tiada lagi monopoli Astro dalam penyiaran televisyen berbayar

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) — Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkata tiada lagi monopoli Astro dalam penyediaan perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar kerana pada masa ini terdapat empat lagi syarikat diberi hak yang sama untuk bersaing dalam menyediakan perkhidmatan itu.


Timbalan Menteri berkenaan Eddin Syazlee Shith berkata tempoh hak eksklusif dan keistimewaan yang diberi kepada Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (Astro) untuk menyiarkan kandungan kepada orang awam melalui perkhidmatan satelit telah berakhir pada 28 Feb 2017.

Bagaimanapun, katanya, Astro masih berhak meneruskan aktiviti penyiaran satelit ini atas dasar bukan eksklusif kerana lesen-lesen yang dimiliki Astro di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sah sehingga 1 Feb 2020 bagi Lesen Individu Pemberi Kemudahan Rangkaian dan Pemberi Perkhidmatan Rangkaian.

Lesen Individu Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) pula tamat pada 28 Feb 2022.



Menurut Eddin Syazlee, sehingga 30 Sept lalu, sebanyak 35 syarikat diberi lesen CASP oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan penyiaran TV melalui pelbagai platform seperti satelit, penyiaran bebas ke udara, protokol Internet dan penyiaran televisyen ‘Digital Terrestrial Television Broadcasting’.

“Daripada senarai tersebut, empat syarikat telah dibenarkan memberi perkhidmatan penyiaran televisyen melalui platform satelit selain daripada Astro iaitu Ansa Broadcast Sdn Bhd, Jaringan Mega Sdn Bhd, Smart Digital International (M) Sdn Bhd dan High End Net Sdn Bhd.

“Dengan adanya penawaran pelbagai platform ini, rakyat akan mempunyai pelbagai pilihan untuk menikmati kandungan sama ada melalui penyiaran percuma dan tanpa langganan atau melalui penyiaran berbayar,” katanya menjawab soalan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Eddin Syazlee berkata rakyat juga mempunyai pilihan untuk menikmati kandungan penyiaran melalui plaftform ‘Over-the-Top’ seperti aplikasi Tonton, iFlix dan NetFlix. – BERNAMA

ep2p-5small