Pelajar Tahfiz perlu diberi perlindungan sewajarnya.. – Dr Maszlee

Kementerian Pendidikan akan mengkaji semula garis panduan menyelia dan mengendalikan pusat-pusat tahfiz di seluruh negara agar diperketatkan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan mengadakan perbincangan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkenaan dengan perkara ini dalam waktu terdekat.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan memandang serius kejadian seorang pengetua sebuah pusat tahfiz di Kepong, yang dipercayai meliwat dan mencabul sembilan pelajar lelakinya.

“Perbuatan seumpama itu tidak boleh diterima sama sekali, lebih-lebih lagi ia dilakukan oleh seorang pengetua yang diletakkan amanah untuk mengurus pusat tahfiz dengan baik.

“Diharap pihak berkuasa polis akan mengambil tindakan tegas ke atas individu terbabit supaya kejadian yang sama tidak berulang di pusat-pusat tahfiz atau mana-mana institusi pendidikan dan pengajian,” katanya seperti yang dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menegaskan, pelajar pusat tahfiz dan juga pelajar sekolah aliran yang lain perlu diberi perlindungan yang sewajarnya daripada apa jua bentuk penganiayaan dan penderaan demi memastikan mereka memperoleh pendidikan berkualiti.

“Sudah tiba masanya agar garis panduan menyelia dan mengendalikan pusat tahfiz seluruh negara dikaji semula dan diperketatkan,” tegasnya.

Tambah Maszlee, memandangkan pusat-pusat tahfiz dikendalikan oleh pihak swasta, Kementerian Pendidikan berpandangan kerjasama semua agensi penting bagi menangani kes salah laku seks di pusat tahfiz.

Semalam dilaporkan, seorang guru agama, yang merupakan pengetua sebuah pusat tahfiz di Kepong, ditahan polis kerana dipercayai meliwat sembilan pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Yaacop berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan sehari selepas polis menerima laporan kes berkenaan yang dibuat oleh seorang guru lelaki pusat tahfiz berkenaan pada 13 September.

ep2p-2