PAFA tolak peletakan jawatan Hasnul

Image result for PAFA) hari ini menolak peletakan jawatan Presidennya, Hasnul ZulkarnainIPOH: Mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) hari ini menolak peletakan jawatan Presidennya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dan memberi tempoh 14 hari kepadanya untuk memikirkan semula keputusan itu.


Bagaimanapun, mesyuarat itu menerima peletakan jawatan Timbalan Presidennya, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, berkuatkuasa hari ini.

Naib Presiden 1 PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, berikutan perkembangan terbaru itu, beliau akan memangku jawatan Presiden PAFA sehingga Hasnul membuat keputusan.

Katanya, surat peletakan jawatan Hasnul diterima hari ini manakala surat Adly Shah yang memberi alasan peletakan jawatan kerana sibuk dengan urusan perniagaan, bertarikh 8 November lalu.

“Kami sebulat suara menolak peletakan jawatan Hasnul kerana beliau mempunyai faktor ‘wow’ bagi mengemudi persatuan dan pasukan lebih hebat pada masa depan, tambahan pula usianya masih muda.



“Jadi, kita bagi tempoh 14 hari untuk beliau bertenang dan memikirkan semula keputusannya,” katanya selepas mesyuarat berkenaan di pejabat PAFA di sini hari ini.

Muhammad Yadzan berkata, pihaknya melihat keputusan Hasnul meletak jawatan semata-mata kerana tekanan pihak luar disebabkan kekhilafannya dalam pengendalian trofi Piala Malaysia dan beliau serta PAFA sendiri sudah berulang kali memohon maaf.

“Kita tengok kalau gelombang tekanan itu terlalu kuat menolak beliau (Hasnul) ke dinding sampai tidak boleh bernafas, kita tidak boleh buat apa.

“Tetapi, jika ada nampak cahaya di hujung terowong, maka kita teruskanlah (memujuk Hasnul),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Yadzan mengumumkan beliau dilantik sebagai pengurus pasukan Perak The Bos Gaurus untuk musim depan.

ep2p-5small