Kenapa KJ ‘Sakit Hati’ Dengan Program Najib?, Tanya Lokman Adam

KUALA LUMPUR – Sekiranya Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terus menunding jari mencari kesalahan orang lain maka beliau boleh berhenti bermimpi menjadi Presiden Umno.

Itu pandangan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam yang hairan mengapakah bekas Menteri Belia dan Sukan itu ‘sakit hati’ apabila program santai bersama Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat sambutan luar biasa.

Menurutnya, adalah tidak bertanggungjawab seorang Ketua Pemuda menyalahkan presiden parti selepas mereka kalah dalam PRU14.

“Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin Abu Bakar menempelak kenyataan Datuk Seri Najib yang menyatakan bahawa BN kalah akibat janji-janji manis Pakatan Harapan dan fitnah mereka.

“Sebaliknya, Khairy mengatakan bahawa punca kekalahan BN hanyalah kerana 1MDB, itu sahaja. Saya tidak pasti apa masalah Khairy Jamaluddin yang  meroyan seperti orang datang bulan.

Tapi apa yang pasti, jika beliau meneruskan sikap menunding jari secara berterusan, saya rasa beliau boleh berhenti bermimpi untuk menjadi Presiden Umno,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Lokman Noor, menunding jari memang mudah namun jika Najib mempunyai Ketua Pemuda yang proaktif dan bersungguh-sungguh, pastinya Umno dapat memerintah semula.

Katanya lagi, beliau masih ingat bagaimana Khairy Jamaluddin datang ke rumah Najib dan menuntut supaya beliau meletak jawatan susulan kekalahan dalam PRU14.

“Saya masih ingat, sebaik sahaja Najib mengisytihar BN kalah, saya pergi ke rumah beliau untuk memohon maaf atas kegagalan saya mempertahankan presiden daripada fitnah pihak musuh.

“Tapi saya tidak boleh fikir, bagaimana seorang Menteri Kabinet dan Ketua Pemuda Parti yang menjadi tunjang pemerintahan negara ini boleh pergi ke rumah presiden pada malam kita kalah, menuntut supaya presiden meletakkan jawatan.

“Adakah Khairy Jamaluddin sudah lupa bahawa Tun Dr Mahathir mula marah kepada Najib kerana kedegilan beliau melantik Khairy Jamaluddin, orang yang dibenci Mahathir sebagai Menteri Belia dan Sukan?,” ujarnya.

Tegasnya lagi, jika Umno gagal menghentikan sikap menunding jari dan tiada kesetiaan kepada pemimpin maka sampai bila-bila Umno tidak akan berjaya menjadi parti kuat.

“Itu sebabnya, bila nak pilih pemimpin, pertama kena pilih yang elok, kedua barulah pilih yang pandai.  Kalau pandai belajar sampai Oxford pun tidak ada gunanya, kalau perangai tidak elok.

“Jangan marah ya, kalau suka mengkritik, sekali sekala terimalah kritikan,” sindirnya. – SINAR HARIAN

ep2p-2