Himpunan Diteruskan, Manifesto Pun Boleh Langgar Inikan Pula Isu ICERD

KUALA LUMPUR – Himpunan Perdana Rakyat Tolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijadualkan 8 Disember ini tetap akan diteruskan berikutan tidak yakin dengan pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hasan, himpunan tersebut juga wajar diteruskan bagi mendesak kerajaan supaya tidak berdolak-dalih dalam isu ICERD.

“Himpunan ini juga sebagai satu peringatan buat kerajaan agar tidak membuat pusingan U.

“Ini kerana dalam soal manifesto sendiri mereka boleh langgar, jadi kita berhimpun mendesak agar isu ICERD ini tidak lagi dibuka atau dibangkitkan kemudian hari,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Katanya, himpunan tersebut perlu diteruskan kerana kegagalan kerajaan menunjukkan kesungguhan tidak meratifikasi ICERD dan lima perjanjian antarabangsa lain.

“Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri sangat ringkas dan ia tidak disambut oleh anggota kerajaan PH.

“Begitu juga dengan kumpulan atau anggota dalam PH yang sebelum ini mendesak agar ICERD diratifikasi tidak memberikan sebarang respons terhadap kenyataan tersebut. Kita tidak berpuas hati,” tambah Nasrudin.

Malah dia sendiri tidak berpuas hati dengan permohonan maaf yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkaitan diskriminasi kaum di negara ini.

“Setakat ini belum ada permohonan daripada beliau sendiri. Jadi pada saya himpunan ini juga sebagai satu desakan supaya Menteri Perpaduan itu mengemukakan permohonan maaf.

“Kita akan teruskan perjuangan sekiranya soal agama Islam, kedudukan raja dan hak orang Melayu dipertikaikan. Selama ini rakyat Malaysia berbilang kaum hidup secara aman mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Suara.TV

 

ep2p-2