VIDEO: Kasut Hitam: Ada Yang Sokong, Ada Yang Mahu Kekal Kasut Putih

Oleh: Shuhaniza Said

KUALA LUMPUR – Keputusan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan pemakaian kasut hitam bagi murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, mengundang reaksi yang pelbagai daripada ibu bapa.

Rata-ratanya menyambut baik keputusan berkenaan dan sememangnya bersetuju dengan perubahan tersebut, atas alasan ia akan memudahkan tugas ibu bapa yang tidak lagi perlu bersusah payah menyental kasut sekolah anak-anak.

Seorang ibu, Arina, 34, berkata beliau menyokong sepenuhnya keputusan berkenaan kerana memahami ‘beban’ yang ditanggung ibu bapa.

“Bagi saya tiada masalah… ada anak saya yang memakai kasut hitam di sekolah. Kalau kerajaan mahu mulakan kasut hitam,ok rasanya.. sebab kalau putih, cepat kotor.

“Sepatutnya ibu bapa setuju kerana ia memudahkan…kerana kalau kasut putih, kena pakai kapur. Jadi ini (kasut hitam) akan memudahkan, menyenangkan tugas,”katanya kepada SuaraTv.

Pendapat yang sama diutarakan seorang bapa, Zairi. Bapa berusia 34 tahun itu berkata, keputusan berkenaan sememangnya sesuatu yang ditunggu-tunggu para ibu bapa.

“Saya sebagai ibu bapa dan ada anak yang bersekolah, saya setuju dengan saranan kerajaan untuk menggunakan kasut hitam. Kerana bagi saya ia lebih menyenangkan, kasut pun tak nampak kotor sangat. 

“Untuk warna stokin, pun sama juga… Tak ada masalah kita sediakan stokin hitam,”katanya.

Aswani Abdullah, 42, berkata, beliau amat berterima kasih kepada kerajaan kerana memahami perasaan ibu bapa.

Ujarnya, sebagai ibu kepada tiga cahaya mata yang masih bersekolah, tambahan pula kesemuanya aktif bersukan, bukanlah satu tugas yang mudah untuk mencuci kasut sekolah.

“Saya setuju sebab kasut hitam lambat kotor, jadi ia memudahkan pengurusan ibu bapa…sebab sebelum ini kasut putih kena dicuci dua atau tiga kali seminggu.

“Pendapat saya, kalau kasut hitam, kena padankan dengan stokin hitam lah.

“Bagi saya, mana-mana pun boleh tapi kalau dah putuskan untuk bertukar kasut hitam, itu lebih baik.Tak ada masalah, lagi memudahkan…Saya ada tiga anak bersekolah, jadi ia memudahkan,” katanya.

Namun bagi seorang bapa, Sani Adnan, 43, beliau agak kurang bersetuju dengan keputusan berkenaan kerana berpendapat, kerajaan sewajarnya mengekalkan ‘tradisi’ kasut putih terhadap murid sekolah.

“Sebagai ibu bapa, saya memang tak setuju kerana, mengapa ia diubah? Kasut putih kepada kasut hitam? Biar ia semulajadi dari awal, sejak turun temurun kasut putih… biarlah kekal saja walaupun sekarang ini kerajaan baru,” ujarnya namun menambah, setiap ibu bapa mempunyai pandangan masing-masing.

Kerajaan baru-baru ini berkata, pelaksanaan pemakaian kasut hitam untuk murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara hanya akan berkuat kuasa sepenuhnya mulai 2021.

Kementerian Pendidikan menjelaskan keputusan berkenaan diambil selepas mempertimbangkan pandangan semua pihak berkepentingan, merangkumi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), murid, pentadbir sekolah, pertubuhan bukan kerajaan dan pembekal.

Kementerian berkata pihaknya bersetuju pemakaian kasut hitam perlu dilaksanakan secara beransur-ansur mulai sesi persekolahan 2019 dan diperluaskan penggunaannya pada 2020.-SuaraTv

ep2p-2