Umno tewas kerana hilang kompas moral dan nilai.. – Mohamad Hassan

UMNO menggariskan tiga faktor utama yang menyebabkan parti dan Barisan Nasional (BN) tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas lebih 60 tahun menerajui negara.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, berkata disamping faktor dalaman dan luaran parti, tiga fenomena penting telah mendasari kegagalan parti itu.

“Pertama, dampak globalisasi yang dipacu oleh kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi telah melahirkan generasi baru Malaysia. Generasi yang bukan sekadar mengangguk dan mengiyakan semua perkara atau ‘comfirmist’.

“Kedua, modenisasi Malaysia telah melahirkan generasi Melayu yang tidak lagi mempunyai nilai dan hubungan sentimental dengan UMNO.

“Ketiga, kegagalan UMNO dan BN untuk berubah mengikut tuntutan sezaman. Struktur, budaya, dasar dan pemikiran politik UMNO dan BN adalah citra kurun ke 20, sedangkan Malaysia telah jauh berada dalam kurun ke 21.

“Akan tetapi, di sebalik segala alasan dan faktor ini, krisis paling besar kepada UMNO bukanlah kehilangan kuasa. Menang kalah pilihan raya itu adat demokrasi.

“Tetapi, yang sangat mendukacitakan ialah UMNO tewas kerana ia telah kehilangan kepercayaan orang Melayu. Kepada sesetengah orang Melayu, UMNO telah ‘hilang kompas moral dan nilainya’,” katanya ketika menyampaikan ucapan merasmikan perhimpunan agung sayap parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Jumaat, malam.

Mohamad berkata, kepesatan ekonomi negara yang dipacu BN selaras dengan pembangunan negara telah melahirkan kelas atas dan menengah Melayu yang besar.

Situasi itu katanya telah menyebabkan munculnya umpama satu kepercayaan baharu, iaitu “kewangan yang maha berkuasa” atau “the power of money”.

Lebih parah katanya, budaya itu telah merebak ke dalam wilayah politik UMNO dan pemimpinnya pula menjadi pemangkin membenih dan menyuburkan kepercayaan ‘kewangan yang maha berkuasa’.

“Natijahnya, perkara yang diperjuangkan UMNO bukan lagi kemaslahatan bangsa melayu.

“Bukan lagi tentang Bahasa Melayu. Bukan lagi kebolehsaingan Melayu. Atau pendidikan terbaik untuk anak bangsa. Bukan lagi sistem politik matang dan baik. Bukan kepimpinan yang amanah pada perjuangan bangsanya.

“Tetapi, yang diperjuangkan ialah ‘survival’ tokoh tertentu yang mampu memberikan segala macam imbuhan. Kontrak dan Projek. Bukan lagi wadah gerakan massa bangsa Melayu yang jujur,” katanya. – Watan

ep2p-2