TMJ umum tubuh Badan Bebas Pengadil

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah merangka pelan untuk memperbaiki mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M) dengan mewujudkan Badan Bebas Pengadil (Independent Refereeing Body) bermula musim depan.

Langkah itu diambil oleh MFL bukan untuk memperlekehkan kemampuan pengadil tempatan, sebaliknya menggunakan kepakaran luar bagi meningkatkan standard pengadil tempatan.


Perkara berkenaan diumumkan oleh Pengerusi MFL Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi akaun Twitter rasminya, HRH Crown Prince of Johor hari ini susulan kontroversi membabitkan beberapa keputusan pengadil perlawanan final Piala Malaysia, Suresh Jayaraman Sabtu lalu.

“MFL membuat keputusan untuk menubuhkan Badan Bebas Pengadil untuk meningkatkan standard pengadil. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut berada dalam badan bebas itu yang akan berfungsi menjelang musim 2019,” katanya.

Ketika ini, FAM bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengadil Liga-M dan langkah terbaru MFL itu dilihat akan membentuk kerjasama antara pengadil tempatan dan luar negara termasuk dari Jepun serta Eropah.



“Kami juga akan menghantar 25 pengadil baharu ke Jepun untuk meningkatkan kualiti mereka. Pengadil tempatan dan pengadil asing dari Jepun, England dan negara lain antara yang turut terbabit dalam Badan Bebas Pengadil.

“Pengadil tempatan dan pengadil asing akan bekerjasama untuk meningkatkan standard. Kami juga merancang untuk mengadakan kursus pengadil yang dikendalikan oleh bekas pengadil Liga Perdana Inggeris,” jelas Tunku Ismail yang juga bekas Presiden FAM.

Tunku Ismail sebelum ini mengkritik mutu pengadilan Suresh dalam aksi final Piala Malaysia antara Perak dan Terengganu di Stadium Shah Alam.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berkata, MFL tidak terbabit dalam pemilihan Suresh yang diputuskan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pengadil FAM dan percaya sepatutnya penggunaan pengadil luar negara bagi perlawanan penting sudah lama dipraktikkan dalam Liga-M.

ep2p-5small