Tidak Perlu Minta Maaf Kerana Terima Anugerah Datuk, Kata Pemimpin DAP Sabah

PETALING JAYA – Pengerusi DAP Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt tidak akan meminta maaf kerana menerima gelaran “Datuk” semasa berkhidmat, tindakan yang melanggar kata sepakat yang dicapai pimpinan pusat partinya sedekad lalu.

Beliau juga tidak akan memulangkan darjah kebesaran yang diterima sempena ulangtahun kelahiran ke-65 Yang di-Pertua Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

“Tidak ada minta maaf walaupun ada pemimpin marah kita kerana pecahkan tradisi parti. Parti juga tidak ada arahkan kita untuk minta maaf kerana mereka faham situasi yang kita hadapi,” katanya kepada FMT.

Beliau diumumkan untuk menerima anugerah pada 4 Oktober dan menerima darjah kebesaran itu pada 6 Oktober.

“Masanya terlalu singkat. hanya sehari setengah sahaja,” tambahnya.

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP semalam mengumumkan wakil rakyat dan ahli majlis tempatan parti itu tidak boleh menerima gelaran kebesaran semasa berkhidmat.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat CEC Isnin lalu, keputusan yang menegaskan kata sepakat yang dicapai sejak sedekad lalu.

Stephen bagaimanapun berkata tidak ada arahan jelas daripada parti yang melarang wakil rakyatnya menerima sebarang gelaran kebesaran semasa berkhidmat.

“Memang pendirian parti tetapi tidak ada arahan jelas. Kini saya sudah faham,” katanya.

Beliau berkata pendirian itu suatu standard yang tidak mengalakkan wakil rakyat atau pemimpinnya menerima anugerah ketika dalam perkhidmatan.

“Isu ini tidak dibincangkan dengan Yang di-Pertua Negeri atau ketua menteri sewaktu anugerah ini diberikan,” kata Stephen.

“Sewaktu kita dapat anugerah ini jadi susah untuk tolak kerana seolah-olah tidak hormat Juhar. Kita sudah jelaskan kepada CEC dan mereka menerima maklum balas kita. Isu ini sudah selesai. Tidak ada guna bangkitkan isu ini.”

Stephen dan naib pengerusinya, Frankie Poon Ming Fung dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran “Datuk” pada 6 Oktober lalu.

Stephen adalah menteri kesihatan & kesejahteraan rakyat Sabah dan Frankie adalah menteri belia & sukan Sabah. – FMT

ep2p-5small