Penumpang feri terkandas 8 jam tengah laut

“SELAMA lebih lapan jam feri kami ‘tersadai’ di tengah laut menyebabkan kebanyakan penumpang kelaparan,” kata Yusoff Abdullah, 56.

Yusof adalah antara lebih 20 penumpang yang berada dalam feri yang dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah, yang terkandas.

Difahamkan, ia berpunca daripada kerosakan pada feri berkenaan.


Menceritakan kejadian, dia dan empat rakannya menaiki feri berkenaan yang bertolak pada 2.22 petang dari dari Terminal Feri Langkawi.

Dia yang juga pengusaha kedai dobi di Langkawi berkata, mereka dijangka tiba di Kuala Kedah, jam 4 petang .

Katanya, feri itu mengalami kerosakan kali pertama, pada 3.30 petang menyebabkannya terhenti seketika.

“Ketika itu ada pasukan peronda penyelamat yang melakukan rondaan berhenti untuk bertanyakan keadaan kami, namun kru feri itu memberitahu feri masih boleh meneruskan perjalanan.

“Tetapi, feri sekali lagi mengalami kerosakan dan kami semua terpaksa menunggu bantuan feri lain sampai sekarang,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Yusoff berkata, ia menyebabkan ada penumpang yang terlepas bas dan difahamkan, ada yang tidak berkesempatan melihat ibu yang meninggal dunia.

Selain itu katanya, feri hanya menggunakan lampu kecemasan dan tidak mempunyai penghawa dingin.

“Ia menyebabkan penumpang hanya bergantung pada tiupan angin laut untuk menghalang kepanasan.



“Kami semua penumpang terpaksa menahan lapar dan dahaga sehingga menunggu bantuan feri lain dari syarikat sama datang untuk menunda feri kami ke Kuala Kedah.

“Kami dijangka tiba di Terminal Feri Kuala Kedah sekitar jam 10.30 hingga 11 malam ini,” katanya.

Yusoff berkata, sepanjang terkandas, ada feri tiba untuk memberi bantuan namun tidak keadaan ombak tidak mengizinkan untuk penumpang dipindahkan ke feri berkenaan.

Dia berharap, pengusaha feri lebih mengutamakan aspek keselamatan penumpang dan melakukan penyelenggaraan feri dengan baik.

Sementara itu, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah mengesahkan kejadian.

Kes turut dimaklumkan kepada Jabatan Laut. – HMetro

ep2p-2