Ingatkan ia panggilan main-main – Sumareh

Image result for sumarehKUALA LUMPUR: “Pada mulanya saya ingatkan ia panggilan main-main tetapi rupa-rupanya Tan Cheng Hoe (jurulatih skuad kebangsaan) sendiri yang menghubungi saya,” kata pemain Pahang, Mohamadou Sumareh.

Pemain kelahiran Gambia itu bercerita mengenai berita dia dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula Isnin ini sekali gus menjadi pemain naturalisasi pertama yang akan beraksi bersama skuad Harimau Malaya.


Menurut pemain berusia 27 tahun itu, dia terkejut dan seakan tidak percaya apabila mendapat panggilan daripada Cheng Hoe kerana dia menjangkakan rakan sepasukannya yang menghubunginya untuk bergurau dengannya.

“Sebenarnya, saya sedang merancang percutian bersama rakan sepasukan, Patrick Cruz sebelum mendapat panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali.

“Saya menjawab panggilan dan pemanggil memperkenalkan diri sebagai jurulatih (Cheng Hoe) sebelum menyatakan dia mahu memanggil saya untuk kem latihan skuad kebangsaan.

“Saya ingatkan ia hanyalah gurauan namun selepas agak lama berbual, baru saya menyedari semuanya adalah benar. Jadi, saya gembira dan teruja kerana ini adalah satu perkembangan yang baik untuk karier saya.

“Panggilan untuk menjalani latihan skuad kebangsaan sememangnya tidak dijangkakan, jadi saya berterima kasih kepada jurulatih. Sudah tentu dia percaya saya mampu membantu menjadikan pasukan Malaysia lebih baik dan saya akan memberikan yang terbaik,” katanya ketika dihubungi hari ini.



Terdahulu, Sri Lanka bakal menjadi negara pertama merasai ‘bisa’ Sumareh selepas dia antara enam pemain baharu yang dipanggil Cheng Hoe untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan kelas ‘A’, bermula dengan Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober ini.

Selepas itu, Malaysia akan melayan Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 16 Oktober.

SENARAI PEMAIN:

Penjaga gol: Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak), Haziq Nadzli (JDT), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka).

Pertahanan: Shahrul Saad, Amirul Azhan Aznan (Perak); Adam Nor Azlin, Fazly Mazlan (JDT); Syazwan Andik Ishak, Irfan Zakaria (Kuala Lumpur); Matthew Davies (Pahang); Rawilson Batuil (Sabah).

Tengah: Kenny Pallraj, Nor Hakim Hassan (Perak); Syamer Kutty Abba (JDT); Akram Mahinan, Syazwan Zainon, Akhyar Rashid (Kedah); Muhamadou Sumareh (Pahang); Azzizan Nordin (Sabah); Mahalli Jasuli (PKNS); Syahmi Safari (Selangor).

Penyerang: Zaquan Adha Abd Radzak (Kuala Lumpur); Norshahrul Idlan Talaha (Pahang); Shahrel Fikri Md Fauzi (Nakhon Ratchasima).

ep2p-5small