PALU – Bilangan penduduk yang hilang akibat gempa bumi dan tsunami di bandar Palu, Indonesia melambung kepada 5,000 orang, kata seorang pegawai semalam, petanda bahawa ramai lagi mangsa mungkin terkorban dalam bencana berkembar itu berbanding angka kematian semasa.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) menyatakan bahawa pihaknya menemui sejumlah 1,763 mayat setakat ini. Gempa bumi kuat bermagnitud 7.5 pada skala Richter dan tsunami itu melanda Pulau Sulawesi pada 28 September lalu.
Bagaimanapun, wujud kebimbangan bahawa dua kejiranan yang paling teruk terjejas di Palu iaitu Petobo dan Balaroa mungkin menyimpan ribuan lagi mangsa selepas keseluruhan komuniti di dua lokasi itu ‘ditelan’ tanah yang menjadi lembik dan berair akibat gempa tersebut.
“Berdasarkan laporan oleh ketua kampung di Balaroa dan Petobo, terdapat kira-kira 5,000 orang yang masih belum ditemui,” kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho kepada sekumpulan pemberita semalam.
“Bagaimanapun, pihak berkuasa sedang cuba untuk mengesahkan angka ini dan mengumpul data. Bukan mudah untuk mendapatkan angka sebenar mereka yang hilang dalam kejadian tanah runtuh atau tanah ‘mencair’ akibat gempa bumi tersebut,” tambahnya.
Sutopo berkata lagi, pencarian mangsa yang belum ditemui akan diteruskan hingga Khamis ini dan selepas itu, penduduk yang masih gagal ditemui akan disenaraikan sebagai hilang dan dianggap sudah mati.
Perkembangan itu mengakibatkan anggaran mangsa yang hilang meningkat dengan mendadak selepas 10 hari bencana itu berlaku. Pihak berkuasa pada mulanya menganggarkan seramai 1,000 orang tertimbus di bawah runtuhan di Palu. – AFP