Tiga remaja bawah umur didakwa merogol budak 11 tahun

SEORANG penganggur dan tiga remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini atas tuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan di rumah di Arau, awal bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Adam Izzudin Asri, 20 dan tiga remaja berusia 15 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Johari Hassan.


Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 10 tahun lapan bulan di rumah di Arau antara 3 pagi hingga 6 pagi pada 2 September lalu.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farhan Aliff Ahmad manakala semua tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.



BACA: Gilir-gilir ‘ratah’ budak 11 tahun

Hakim Johari kemudian membenarkan Muhammad Adam diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala tiga lagi tertuduh RM7,000 juga masing-masing seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

NSTP sebelum ini melaporkan empat lelaki ditahan polis pada 13 September lalu selepas merogol seorang kanak-kanak perempuan bergilir-gilir di rumah di Arau.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, mangsa hadir ke balai polis bagi membuat laporan selepas gurunya memaklumkan perkara berkenaan kepada ibu bapanya.

Kanak-kanak terbabit dirogol secara bergilir-gilir di dalam bilik di rumah terbabit sebelum mereka menghantarnya pulang pada awal pagi.

ep2p-5small