Tiada konflik kepentingan dalam perlantikan Dr Maszlee sebagai Presiden UIA

Semua pihak tidak boleh menafikan bahawa Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menjadi terkenal pada era 80-an dan 90an ketika jawatan Presidennya diterajui oleh bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. 

Pengaruh pemimpin-pemimpin tersohor inilah yang menjadikan UIA sebagai satu platform yang lebih luas di peringkat pendidikan antarabangsa terutamanya kalangan negara-negara Islam.

Justeru itu, perlantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai Presiden UIA merupakan satu perubahan berani bagi mengembalikan zaman kegemilangan institusi pendidikan berkenaan.

Pelantikan Menteri Pendidikan itu sebagai Presiden UIA juga bukanlah satu perkara baharu atau asing jika kita teliti sejarah UIA sendiri sebelum ini.

Dr Maszlee merupakan Menteri Pendidikan ke-3 yang menjadi Presiden selepas Anwar dan Najib.

Walaupun jawatan Presiden UIA hanyalah jawatan “ceremonial’ dan bersifat penasihat, namun sebagai bekas pelajar dan pensyarah di UIA sudah tentu banyak cadangan perubahan akan dicadangkan oleh beliau untuk kebaikan universiti.

Selain itu, ramai sedia maklum bahawa Dr Maszlee bukan sekadar ahli politik yang bermula dari bawah sahaja, beliau juga adalah merupakan pendidik dari bawah.

Sebahagian besar hidupnya dihabiskan dalam dunia pendidikan dan sentiasa berbicara isu pendidikan sejak bertahun-tahun lalu sebelum beliau menceburi politik.

Dengan kata lain Maszlee adalah pendidik profesional yang terjun dalam dunia politik, bukannya ahli politik yang cuba mengenali dunia pendidik. Inilah kelebihan Maszlee dalam dunia pendidikan dan kekurangan beliau dalam politik.

Sebagai Menteri Pendidikan, Maszlee juga tidak menerima sebarang elaun dan kemudahan sebagai Presiden UIA. Jadi ini bukan soal material dan wang.

Beliau mahu menguruskan dunia pendidikan mengikut cara pendidik.

Kesimpulannya, pelantikan ini tidaklah membabitkan sebarang konflik kepentingan kerana UIA bukan sebuah IPTA yang ditubuhkan melalui Akta Kolej dan Universiti (AUKU).

ep2p-5small