Saya Tunggu Giliran Jadi PM, Bukan Mahu Jadi TPM – Anwar

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak mahu menggantikan isterinya sebagai timbalan perdana menteri, susulan pilihannya bertanding di Port Dickson untuk kembali ke Parlimen ketika timbul dakwaan nepotisme terhadap ahli keluarganya.

Presiden PKR itu berkata, beliau tidak memilih kerusi Parlimen Pandan yang disandang isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana beliau ialah timbalan perdana menteri.

“Siapa yang akan jadi timbalan perdana menteri? Jika saya menang, saya tidak mahu jadi timbalan perdana menteri. Saya sudah beritahu Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya akan tunggu giliran saya, kemudian baru saya ambil alih. Itu pendirian saya. Beliau tidak boleh mengosongkan kerusi itu,” katanya dalam Dialog Anak Muda bersamanya di sini, semalam.

Pada 12 September lalu, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan peletakan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi itu.

Tindakan itu dikritik penyokong dan penentang Pakatan Harapan (PH) dengan ramai yang mempertikaikan kenapa Wan Azizah dan anak sulung mereka, Nurul Izzah tidak mengosongkan kerusi masing-masing.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Nurul Izzah bertanding di Permatang Pauh, kerusi tradisi Anwar di Pulau Pinang yang pernah diwakilinya kira-kira 2 dekad.

Hari ini, Anwar berkata, beliau tidak perlu bekerja keras untuk menang di Port Dickson.

“Saya tidak memandang mudah mana-mana perkara, anda perlu kerja keras, anda perlu bertemu rakyat dan berikan penjelasan, lumrahnya anda tidak mendapat sokongan 100% pengundi, tetapi adalah penting untuk anda sedari kami hanya menawarkan diri sebagai calon.

“Oleh itu, bagi mereka, anda mungkin dikenali dan diterima di tempat lain, tetapi apa yang penting adalah sokongan daripada Port Dickson. Tiada yang pasti. Saya perlu bekerja keras.”

Katanya, satu daripada cabaran ialah menjelaskan kepada pengundi kenapa beliau memilih Port Dickson.

“Saya perlu beritahu mereka, apa yang saya boleh tawarkan kepada PD dan kenapa ia penting untuk merayu mereka menyokong dan meluluskan pencalonan saya.”

Beliau turut menafikan akan mendapat kemenangan di Port Dickson disebabkan kedudukannya.

“Saya pergi ke sana sebagai Anwar untuk mencari sokongan pengundi. Jika anda ada masa, anda boleh datang dan beri sokongan.”

Sementara itu, Anwar mengalu-alukan sokongan daripada mana-mana pihak, termasuk bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz.

“Tetapi, apabila melibatkan platform parti, ia akan diputuskan parti. Saya bukanlah sombong untuk menolak mana-mana tawaran untuk membantu, saya hanyalah seorang calon.” – FMT

ep2p-2