Peniaga Wanita Rugi RM50,000 Terpedaya Panggilan Scam

KUANTAN – Seorang peniaga wanita di sini kerugian sebanyak RM50,000 selepas diperdaya dengan panggilan Scam yang mendakwa mangsa terlibat dengan dadah dan penggubalan wang haram, minggu lalu.

Kejadian bermula pada 16 September apabila mangsa berusia 64 tahun menerima panggilan telefon kira-kira pukul 11 pagi daripada seorang lelaki yang mendakwa wakil Public Bank.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa dimaklumkan mempunyai tunggakan pinjaman peribadi sebanyak RM3,000.

“Mangsa menafikannya namun panggilan itu kononnya disambungkan kepada pihak polis untuk bercakap dengan suspek yang mendakwa dirinya seorang ‘Inspektor’.

“Menerusi panggilan tersebut, mangsa dimaklumkan bahawa akaun miliknya terlibat dalam aktiviti dadah dan wang haram menyebabkannya cemas sehingga menyerahkan maklumat diri termasuk memberitahu mempunyai simpanan sebanyak RM500,000,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Wazir, suspek seterusnya mengarahkan mangsa supaya membuka akaun di Bank Islam dan memindahkan wang simpanannya ke dalam akaun itu kemudian memberikan butiran akaun tersebut.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas dihubungi pihak bank dan mendapati wang sebanyak RM50,000 lesap,” katanya. – UTUSAN

ep2p-5small